Ford Ranger kini dilengkapi sistem pintar tercanggih | DagangNews Skip to main content

Ford Ranger kini dilengkapi sistem pintar tercanggih

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Ogos — Ranger generasi baharu merupakan Ranger paling pintar setakat ini, dengan tumpuan untuk memperkaya pengalaman pengguna. Ini bermakna pemilik boleh mengalihkannya dengan sangat mudah sama ada sebagai kenderaan keluarga atau untuk tujuan kerja.

 

Dari sistem infotainmen SYNC®i 4A generasi baharu hinggalah kepada skrin format luas yang berfungsi seperti telefon pintar, serta paparan instrumen digital yang menggantikan kluster analog, Ranger generasi baharu menganjak sempadan tentang apa yang mampu diberikan oleh sebuah trak pikap, dengan teknologi berpaksikan pelanggan.

 

Ciri utama teknologi Ranger

Paparan digital

Ranger generasi baharu tidak lagi menggunakan kluster instrumen fizikal untuk speedometer, tetapi menggantikannya dengan panel instrumen digital lapan-inci yang boleh disesuaikan dengan selera pengguna. Paparan ini meliputi animasi awal dan akhir nyalaan serta speedometer dan tachometer digital.

 

Grafiknya juga memaparkan avatar badan trak yang realistik. Bergantung kepada varian, pemilik boleh memilih antara tataletak yang memaparkan maklumat seperti teknologi bantuan pemandu, tachometer On/Off dan petunjuk lainnya. Turut ada ialah “paparan tenang” yang mengeluarkan maklumat tersedia daripada paparan.

 

Oleh kerana Ranger generasi baharu mempunyai mod pemanduan atas jalan dan off-road, paparan panel instrumen ada tema berbeza bagi setiap mod yang dipilih, dengan paparan peralihan yang menarik ketika pemandu memilih antara mod yang ada.


 

ranger

 


Lebih pintar, intuitif dengan SYNC 4A

Jantung kepada kisah teknologi Ranger generasi baharu ini ialah sistem komunikasi dan hiburan SYNC 4A. Sistem ini menawarkan sambungan telefon pintar Apple CarPlay™ tanpa wayar dan Android Auto™ serta memaparkan ciri terkini yang menjadikan sistem SYNC 4A mudah dikendalikan.

 

Skrin besar

Sama ada Ranger generasi baharu dilengkapi dengan skrin infotainmen 10.1-inci atau 12-inci yang terbaik dalam kelasnya, ada tetapan pemisah skrin yang boleh disesuaikan dengan panel maklumat yang diinginkan selalu tersedia di bahagian bawah skrin. Ini memaparkan maklumat utama, seperti tunjuk arah terhubung, telefon pengguna yang disambungkan serta banyak lagi.

 

Skrin tablet format besar dipilih kerana ia membolehkan paparan tunjuk arah yang lebih tepat dan dalam masa yang sama menyediakan ruang di bahagian bawah skrin untuk paparan seperti pendingin dan kawalan hiburan.


 

ranger

 


Kurang butang, lebih berkemampuan

Kebanyakan kawalan mod pemanduan tradisional telah dialih dari papan pemuka dan konsol tengah ke paparan khusus mereka di skrin SYNC.

 

Bergantung kepada varian, sebagai contoh, dengan hanya menekan satu butang, pemandu boleh pergi ke skrin khusus untuk off-road pada Ranger di mana mereka boleh meninjau pacuan, sudut stereng, kecuraman kenderaan, sudut olengan dan kawalan lain.

 

Pendingin dan hiburan kabin boleh dikawal melalui skrin SYNC, dengan kawalan fizikal tambahan tersedia di bawah skrin untuk larasan pantas dan mudah.
Pandangan sekeliling Skrin berkenaan disambung kepada kamera 360-darjah untuk memudahkan urusan meletak kenderaan ke dalam ruang parkir sempit atau untuk membantu meninjau permukaan mencabar ketika pemiliknya meneroka kawasan yang jarang dilalui.

 

Sistem berkenaan membenarkan pemandu untuk melihat apa yang ada di depan atau belakang serta pandangan dari atas ke bawah di sekitar kenderaan, termasuk titik buta, untuk lebih yakin.


 

ranger

 


Brek parkir elektrik

Ranger WildTrak generasi baharu menjadi yang pertama dipasangkan brek parkir elektrik dalam kelasnya untuk lebih ciri teknologi canggih. Perubahan ini bukan sahaja membolehkan capaian lebih mudah untuk pemandu, tetapi turut juga memberi ruang kepada sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) 

 

Kekal dicas

Ranger generasi baharu kini membolehkan pelanggan membiarkan telefon pintar mereka dicas tanpa wayar dan dalam masa sama disambung kepada SYNC 4A menerusi pelantar pengecas yang terletak di hujung konsol tengah, yang juga serasi dengan teknologi Qi terkini.

 

Telefon pintar juga boleh dicas dengan menggunakan wayar yang disambung ke slot USB atau menerusi soket 12V/240V dan penyonsang 150W yang juga membekalkan kuasa.


 

ranger

 


Kuasa penuh

Dengan lebih ramai pemandu menggunakan dash cam, ciri berkenaan turut dipasangkan pada cermin utama melalui saluran USB. Sambungan Type-A USB menukar kuasa 12V kepada USB 5V dan direka untuk membekalkan kuasa kepada GPS luaran atau dash cam.

 

Ia juga boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar, walaupun ia tidak akan disambungkan kepada sistem SYNC 4A. Bergantung kepada varian, turut tersedia di kotak barangan adalah soket 400W dan 12V untuk pengguna memanfaatkannya bagi kerja-kerja DIY di luar.

 

Cahaya terang

Khas untuk model spesifik Ranger WildTrak generasi baharu adalah ciri lampu utama LED Matrix yang pertama dalam segmennya, memuatkan banyak ciri pintar termasuk penetapan tahap dinamik automatik serta pencahayaan bergantung kepada kelajuan; ia boleh melaraskan kepekatan pancaran di depan kenderaan bergantung kepada kelajuan pergerakan semasa.

 

Lampu utama itu juga menawarkan suluhan statik dan dinamik serta lampu tinggi bebas-silau, yang membantu menyekat cahaya yang boleh membutakan sementara penglihatan pemandu lain.


 

ranger

 


Sertai siri jelajah Ranger generasi terbaharu

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, akan mempertontonkan Ranger generasi terbaharu ini di Kuching pada 7-11 September di Vivacity Megamall, dan Suria Sabah Shopping Centre, Kota Kinabalu pada 5-9 Oktober.

 

Menjelang pelancarannya di bilik pameran, acara pratonton ini adalah sebahagian daripada siri jelajah seluruh negara bagi Ranger generasi baharu ini di lima kawasan, termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru melibatkan tempoh lima hujung minggu.


 

ranger

 


Jangan ketinggalan untuk berkunjung ke acara pratonton akan datang ini dan dekati Ranger generasi baharu dalam siri jelajah berkenaan. - DagangNews.com