Foxconn muncul pemegang saham besar DNeX | DagangNews Skip to main content

Foxconn muncul pemegang saham besar DNeX

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Syarikat elektronik dari Singapura, Foxconn Singapore Pte Ltd muncul sebagai pemegang saham besar dalam Dagang NeXchange Berhad dengan kepentingan sebanyak 5.03%. 

 

Ini susulan DNeX menerima satu pemberitahuan rasmi dari anak syarikat kepada Hon Hai Precision Industry Co Ltd itu semalam yang menyatakan telah mengambilalih 120 juta saham daripada pemegang kepentingan sedia ada kumpulan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya sentiasa terbuka terhadap mana-mana kerjasama dengan rakan kongsi dan pelabur strategik yang boleh membawa nilai kepada kumpulan.

 

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir
Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

“Kami mengalu-alukan kemasukan pemegang saham baharu, Foxconn. Kami menjangkakan perkembangan ini akan membawa potensi besar kepada DNeX dan percaya kehadiran Foxconn akan menawarkan peluang untuk membuka dan mencipta nilai di seluruh rantaian nilai sektor teknologi tinggi, malah menjangkauinya,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kerjasama yang berpotensi untuk diteroka antara kedua-duanya termasuk produk semikonduktor dan hiliran, kenderaan elektrik serta perniagaan berkaitan dengan rantaian nilai kenderaan elektrik, tambah Syed Zainal Abidin.

 

Melangkah ke hadapan, ujar beliau lanjut, DNeX menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan dan mentransformasi syarikat sebagai pemain industri teknologi yang berdaya saing di peringkat pasaran global. 

 

Bersama-sama Pembuatan Canggih Litar Bersepadu Beijing dan Peralatan Canggih Pusat Dana Pelaburan Ekuiti, DNeX sedang memuktamadkan pengambilalihan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd.

 

“Prospek sektor semikonduktor dijangka terus berkembang dengan permintaan yang kian meningkat akan berterusan sehingga 2024, di mana dapat membawa perolehan positif yang mampan buat SilTerra dan DNex.

 

“Ini menjadikan pengambilalihan SilTerra tepat pada masanya dan strategik untuk DNeX. Kami yakin bahawa perniagaan kami dalam pasaran semikonduktor akan berkembang dengan kukuh,” kata Syed Zainal Abidin. - DagangNews.com