Freya Capital jalin kerjasama dengan National Bonds pacu pertumbuhan sukuk Al Manassah | DagangNews Skip to main content

Freya Capital jalin kerjasama dengan National Bonds pacu pertumbuhan sukuk Al Manassah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Syarikat pemula teknologi Malaysia, Freya Capital Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), National Bonds yang bertujuan meningkatkan pertumbuhan platform penyelesaian sukuk perdagangan Al Manassah di Malaysia dan Asia Tenggara.

 

Al Manassah ialah instrumen pelaburan digital milik National Bonds yang boleh disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus institusi kewangan dan berfungsi menangani jurang produk kewangan patuh syariah yang selamat dan mesra pengguna.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Freya Capital, Amelia Tan berkata, penyelesaian berasaskan teknologi itu mematuhi garis panduan kewangan Islam dan menyokong pengurusan aliran tunai melalui portal yang cekap kepada institusi kerajaan dan institusi kewangan yang berpotensi di rantau ini.

 

Beliau berkata, kerjasama National Bonds-Freya itu merupakan gabungan yang membawa kemahiran yang mendalam dalam strategi perniagaan dan teknologi. 

 

"Kami yakin bahawa kerjasama ini akan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia Tenggara dengan meningkatkan dan menambah baik akses kepada kewangan dan kecekapan pasaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Perjanjian disempurnakan semasa Minggu Ekonomi Digital Malaysia yang berlangsung di Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai dari 9 hingga 15 Januari 2022 dan program itu berjaya menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM1.29 bilion ke Malaysia. 

 

mdec

 

Kejayaan itu dipacu 110 perniagaan berpotensi, 138 padanan perniagaan dan 16 MoU dalam kalangan 22 syarikat teknologi Malaysia dan peserta global yang terlibat di ekspo berkenaan.

 

Freya Capital merupakan sebahagian daripada 22 delegasi syarikat teknologi Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

mdec
Amelia Tan

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, kerjasama itu pasti akan menggalakkan pertumbuhan sektor teknologi kewangan Islam di Malaysia dan seterusnya meningkatkan status Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

 

mdec
Mahadhir Aziz

 

“Ekonomi digital Malaysia bukan sahaja bergantung kepada teknologi yang kami hasilkan, malah menerusi kerjasama yang terjalin untuk membawa pengetahuan yang akan dikongsi ke seluruh dunia. 

 

"Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai telah memainkan peranan untuk mewujudkan interaksi bermakna yang akan membawa keterangkuman dan kemakmuran bersama kepada rakyat,” katanya. - DagangNews.com