Funding Societies bekerjasama dengan Proton tawar pembiayaan kepada pengedar kereta nasional itu | DagangNews Skip to main content

Funding Societies bekerjasama dengan Proton tawar pembiayaan kepada pengedar kereta nasional itu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Nov - Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjalinkan kerjasama dengan Proton untuk menyediakan kemudahan kredit kepada pengedar jenama itu bagi membiayai pembelian kereta sebagai stok.

 

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, permintaan untuk kenderaan peribadi menunjukkan peningkatan sejak separuh kedua 2020.

 

"Peningkatan itu didorong kebimbangan masyarakat terhadap pengangkutan awam (impak krisis COVID-19) serta dasar kerajaan berketepatan semasa pandemik.

 

"Dengan fasiliti kredit pusingan (revolving credit facility) Funding Societies, pengedar Proton boleh memanfaatkan pertumbuhan tersebut dengan meningkatkan inventori bagi tujuan jualan dengan meningkatkan inventori kereta terpakai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Funding Societies diasaskan pada 2015 untuk memperkasa PKS di Asia Tenggara dengan memperluas akses pembiayaan PKS dengan menyelesaikan kekangan-kekangan utama pembiayaan yang sering dihadapi termasuk ketiadaan cagaran, keperluan dokumentasi yang merumitkan serta proses yang panjang.

 

Pengurus Besar Proton Edar, Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa berkata, selaras dengan misi Funding Societies untuk memperluas kemudahan pembiayaan kepada PKS terpinggir yang berkelayakan kredit, kemudahan kredit pusingan ini memberikan pengalaman pembiayaan lebih lancar kepada pengedar Proton. 

 

proton

 

"Dengan peningkatan jumlah jualan Proton sejak beberapa tahun ini, kami telah melihat peningkatan transaksi jual atau tukar beli. 

 

"Melalui kemudahan pembiayaan pengedar yang disediakan oleh Funding Societies, pengedar kami boleh membiayai pembelian stok bagi membolehkan transaksi tukar beli," katanya.

 

Sejak penubuhannya pada 2019, unit Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) Proton telah memperkenalkan prosedur operasi dan menyediakan latihan kepada pemeriksa kereta terpakai untuk menguruskan transaksi di setiap cawangan dan memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh jenama tersebut. 

 

proton
Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa

 

Pada masa ini, syarikat itu mempunyai 35 cawangan yang menjual kenderaan Proton Certified Pre-Owned (PCPO) di negara ini.

 

Kenderaan yang dijual di bawah program PCPO menjalani pemeriksaan menyeluruh 201-mata dan dijamin bebas daripada sebarang kerosakan banjir atau kemalangan besar. 

 

Pelanggan juga menikmati lanjutan jaminan selama setahun yang meliputi enjin dan transmisi serta satu sesi perkhidmatan servis percuma enam bulan dari tarikh pendaftaran. - DagangNews.com