Funding Societies capai rekod pembiayaan melebihi RM13.4 bilion daripada lima juta transaksi kepada PKS Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Funding Societies capai rekod pembiayaan melebihi RM13.4 bilion daripada lima juta transaksi kepada PKS Asia Tenggara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Funding Societies mengumumkan bahawa mereka telah mencapai pembiayaan melebihi AS$3 bilion (RM13.4 bilion) daripada 5 juta transaksi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Asia Tenggara.

 

Syarikat pemula fintech itu mempunyai jejak merentasi lima negara di Asia Tenggara dan hampir 100,000 PKS telah mendapat manfaat daripada akses kepada pembiayaannya.

 

Di Malaysia, ia telah mengeluarkan RM2 bilion dalam pembiayaan sejak penubuhannya pada 2017 dan telah meningkatkan tiga kali ganda Nilai Transaksi Kasar (GTV) tahun ke tahun melalui penyelesaian proprietarinya.

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Funding Societies | Modalku, Kelvin Teo berkata, pihaknya komited untuk memperkasakan PKS di Asia Tenggara.

 

Beliau berkata, pihaknya telah mengumpulkan dana dalam Siri C+, meperluas skala perniagaan kami di Thailand dan Vietnam; memperluas penawaran pembiayaan tempatan; memperoleh kredit pertama daripada bank komersial global HSBC berjumlah AS$50 juta (RM224 juta); serta menceburi perniagaan pembayaran dengan CardUp dan pelaburan ke dalam Bank Indeks, kerana keperluan PKS melangkaui sekadar pembiayaan.

 

“Walaupun terdapat pelbagai rintangan makro tahun ini, kami tetap optimis untuk terus berkembang seperti yang kami lakukan semasa COVID-19. 

 

"Kami akan terus kekal berinovasi dan mengembangkan skala dalam pembiayaan, pembayaran dan perkhidmatan kewangan yang lain dan menyelesaikan pelbagai titik permasalahan yang dihadapi oleh PKS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada Mei 2022, Funding Societies memperkenalkan penyelesaian Pembiayaan Perdagangan patuh syariah pertamanya berdasarkan Murabahah Komoditi melalui Tawarruq, membolehkan PKS mengakses talian kredit sehingga RM1 juta tanpa cagaran.

 

Mereka sedang berusaha untuk melancarkan pembiayaan mikro dan berjangka patuh syariah pada bulan ini, mengembangkan cadangan pembiayaan syariah merentasi penawaran produk selaras dengan tumpuanmengembangkan kepimpinan kami dalam Kewangan Islam. - DagangNews.com