FY20: CGS-CIMB tingkatkan unjuran EPS UMW Holdings hingga 20% | DagangNews Skip to main content

FY20: CGS-CIMB tingkatkan unjuran EPS UMW Holdings hingga 20%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Firma penyelidik, CGS-CIMB Research meningkatkan unjuran perolehan sesaham (EPS) bagi syarikat automotif, UMW Holdings Berhad untuk tahun kewangan 2020 (FY20) antara 11% hingga 20%. 

 

Unjuran itu ditingkatkan susulan jumlah jualan lebih ditinggi yang dicatatkan oleh UMW-Toyota (UMWT) dan Perodua. 

 

“Kami meningkatkan ramalan jualan FY20 hingga FY22 bagi UMWT dan Perodua sebanyak 3% hingga 7%. Kami menjangkakan jualan UMWT akan meningkat sebanyak 16% kepada 69,000 pada 2021 berbanding tahun lalu, didorong oleh Vios, Yaris, Fortuner, Innova dan model C-segmen kenderaan utiliti sukan (SUV).

 

“Sementara itu, kami menjangkakan Perodua bakal mencatatkan 240,000 jumlah jualan pada FY21, dipacu oleh segmen A SUV baharu, mungkin pada suku kedua 2021 (2Q21). 

 

“Kami juga menjangkakan UMW bakal menerima manfaat daripada pergerakan pertukaran mata wang asing, anggaran 1% kenaikan dalam ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang dapat melonjakkan EPS FY21 hingga FY22 sebanyak 2.2% hingga 2.6%,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Pada Jumaat lalu, CGS-CIMB mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings, Datuk Fuad Kenali.

 

Jelas CGS-CIMB, pengurusan UMW optimis terhadap prospek pertumbuhan kumpulan pada FY21, didorong oleh pengembangan barisan model baharu bagi bahagian automotif dan peningkatan permintaan untuk komponen automotif ekoran lanjutan pengecualian cukai sehingga 30 Jun 2021. 

 

Di samping itu, kumpulan syarikat berkenaan memperuntukkan kira-kira RM630 juta perbelanjaan modal pada FY21, khusus untuk bahagian kenderaan bertujuan menyediakan pelancaran model baharu. 

 

“Sementara itu, kami mendapati bahawa Vios dan Yaris baharu masing-masing telah mendapat lebih daripada 2,000 dan 1,500 tempahan. Kami menjangkakan Vios dan Yaris akan mendorong jumlah penjualan UMWT pada FY21F. 

 

“Untuk rekod, kedua-dua model tersebut merangkumi 58% penjualan UMWT pada tahun 2020,” tambah CSG-CIMB. 

 

Susulan itu, CSG-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' saham UMW Holdings dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM4 berbanding RM3.30 sebelum ini. 

 

Setakat 2.14 petang, nilai saham kumpulan syarikat itu menyusut RM0.07 kepada RM3.25 daripada paras yang ditutup semalam, RM3.32. - DagangNews.com