FY21: Anggaran perolehan Top Glove dikurangkan 14.9% | DagangNews Skip to main content

FY21: Anggaran perolehan Top Glove dikurangkan 14.9%

Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Anggaran perolehan syarikat pembekal sarung tangan getah terkenal, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) dikurangkan sebanyak 14.9% bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

MIDF Research berkata, anggaran berkenaan dibuat setelah mengambil kira faktor penurunan harga jualan sarung tangan getah (ASP) serta penyusutan margin keuntungan yang dipengaruhi oleh perubahan penawaran dan permintaan.

 

"Anggaran perolehan dikurangkan sebanyak -14.9% bagi tahun kewangan 2021 dan -30.9% bagi tahun kewangan 2022.

 

"Kami juga menjangkakan kenaikan kos operasi dalam jangka masa sederhana kerana perbelanjaan yang lebih tinggi," jelas MIDF Research.

 

Mengulas lanjut, MIDF Research menjangkakan bahawa ASP akan mengalami penurunan dalam tempoh suku akan datang.

 

Situasi berkenaan berkemungkinan terjadi susulan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi oleh syarikat pembuat sarung tangan.

 

"Ditambah dengan kos bahan mentah yang lebih rendah, kami menjangkakan ASP sarung tangan getah akan lebih rendah pada suku yang akan datang.

 

"Kami juga berpendapat bahawa had tenaga kerja sebanyak 60% yang dikuatkuasakan semasa PKP sedikit sebanyak mempengaruhi output pengeluaran," ujar MIDF Research.

 

Dalam laporan kewangan semalam, Top Glove mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.04 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) yang berakhir 31 Mei lalu.

 

Baca: Sarung tangan ‘laris’, Top Glove untung bersih RM2.04 bilion

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021 (9MFY21), syarikat berkenaan berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM7.3 bilion. 

 

Perolehan dalam tempoh berkenaan melonjak 1176.4% tahun ke tahun dipacu oleh peningkatan hasil 246.2% berbanding tahun lalu kepada RM14.3 bilion. 

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' saham Top Glove dengan harga sasaran sesaham (TP) yang disemak semula bernilai RM5.73 berbanding RM8.29 pada sebelumnya. - DagangNews.com