FY21: Pendapatan Top Glove dijangka meningkat 24.3% | DagangNews Skip to main content

FY21: Pendapatan Top Glove dijangka meningkat 24.3%

Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mac. - Pendapatan syarikat pengeluar sarung tangan getah, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) dijangka meningkat sebanyak 24.3% bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

MIDF Research berkata, anggaran itu dinilai kepada prestasi margin keuntungan yang lebih baik berbanding jangkaan.

 

"Kami menyimpan anggaran pendapatan Top Glove untuk tahun kewangan 2022 sementara menunggu penjelasan yang lebih lanjut daripada trend purata harga (ASP) akhir tahun ini," jelas MIDF Research. 

 

Dalam pengumuman kewangan syarikat bagi suku kedua tahun kewangan 2021 semalam, Top Glove mencatatkan lonjakan keuntungan 24 kali ganda.

 

Syarikat berkenaan memperoleh keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM2.9 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2021 berbanding RM116.0 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

 

Dalam pengumumannya di Bursa Malaysia itu, syarikat berkenaan berjaya memperoleh hasil jualan suku tahunan tertinggi bernilai RM5.37 bilion.

 

Baca: Keuntungan suku kedua Top Glove naik 24 kali ganda

 

Jumlah tersebut menyaksikan peningkatan 336% berbanding suku sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research yang menyentuh berkaitan dengan cadangan penyenaraian Top Glove di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong (HKEX) memberitahu, perkara tersebut dijangka akan berlaku sekitar Mei hingga Jun 2021.

 

Ujar CGS-CIMB Research, cadangan berkenaan juga berpotensi menjana RM7.7 bilion dengan andaian harga terbitan sesaham bernilai RM5.20.

 

"Jumlah itu turut dirasionalkan dengan sasaran asas pelaburan yang lebih luas, pengumpulan dana bagi perancangan capex dan platform baharu bagi aktiviti pengumpulan dana di masa hadapan.

 

"Namun, kami bersikap negatif terhadap cadangan ini kerana ia berpotensi mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) sebanyak 11.2% hingga 15.1% pada tahun kewangan 2021 hingga 2023," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com