KUALA LUMPUR 19 Ogos - G Capital Bhd., yang memiliki 96% kepentingan dalam anak syarikatnya, Gunung Hydropower Sdn. Bhd. memeterai perjanjian pembelian tenaga diperbaharui (REPPA) dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Dalam makluman di Bursa Malaysia, G Capital berkata, Gunung Hydropower berjaya memeterai perjanjian itu lebih awal berbanding dijadualkan pada 15 Disember 2021.
"REPPA melibatkan tempoh selama 21 tahun mulai tarikh operasi komersial, dijadualkan bermula 15 Disember 2025," katanya hari ini.
Pada 15 Disember 2020, Gunung Hydropower menerima kelulusan feed-in oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) berkenaan loji tenaga hidro mini berkapasiti rendah 10MW di Sungai Perak, Salu sekitar daerah Lenggong, Perak.
Mengikut REPPA, TNB akan membeli tenaga elektrik dari Gunung Hydropower pada kadar tarif feed-in (FiT) 28.98 sen per kilowatt jam.
G Capital menjangkakan ia menjana pendapatan lebih daripada RM400 juta bagi tempoh lebih 21 tahun mulai tarikh operasi dan siapnya loji itu berdasarkan kadar FiT dan anggaran pengeluaran tahunan 68 gigawatt jam tenaga elektrik.
Kumpulan itu juga memaklumkan perjanjian tersebut tidak memberi sebarang impak kepada pendapatan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. - DagangNews.com