Gagasan Nadi Cergas peruntuk RM777j, rancang bina lebih 4,000 rumah mampu milik | DagangNews Skip to main content

Gagasan Nadi Cergas peruntuk RM777j, rancang bina lebih 4,000 rumah mampu milik

KUALA LUMPUR 9 Julai - Syarikat kumpulan pembinaan, Gagasan Nadi Cergas Berhad (Gagasan Nadi Cergas) akan menjalankan projek pembinaan terbesar syarikatnya dengan peruntukan sebanyak RM777 juta bagi membina 4,319 unit rumah mampu milik di bawah program Rumah Idaman.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Wan Azman Wan Kamal berkata, projek tersebut akan dibangunkan dengan keluasan tanah 36.6 ekar di empat lokasi iaitu di Seksyen U8 dan tiga yang lain adalah di Seksyen U17 Shah Alam, Selangor.

"Pembinaan dijangka siap hingga 2026. Projek ini juga bukan hanya menampilkan kualiti Rumah Idaman, malah dapat meningkatkan tahap penilaian orang ramai kepada rumah mampu milik di Selangor.

"Gagasan Nadi Cergas turut memainkan peranan bagi menyokong seruan kerajaan Selangor untuk merialisasikan impian pemilikan rumah mampu milik bagi rakyat Selangor khususnya kumpulan B40," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Wan Azman Wan Kamal
Pengarah Urusan Kumpulan, Wan Azman Wan Kamal

 

Program Rumah Idaman adalah cetusan idea Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) untuk menyediakan perumahan mampu milik bagi kumpulan B40 di negeri Selangor.

Melalui program tersebut, setiap unit akan dibina dengan keluasan 1,000 kaki persegi pada harga RM250,000 serta dilengkapi dengan televisyen, kabinet TV, peti sejuk; kabinet dapur; penghawa dingin; pemanas air dan almari pakaian.

Sebanyak 4,319 unit rumah akan dibekalkan kepada pembeli yang berdaftar dan berkelayakan melalui proses pengundian yang akan dijalankan oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LHPS).

Jelasnya lagi, projek tersebut juga adalah sebagai bukti kemampuan kumpulannya untuk menyediakan kediaman yang jimat dan berkualiti sepanjang 20 tahun penglibatan mereka dalam pembinaan rumah mampu milik di Malaysia

"Ini adalah kemajuan yang kami capai, dan niat kami untuk terus berkembang agar dapat membantu lebih banyak keluarga di Selangor memiliki rumah mampu milik pada harga yang berpatutan," katanya lagi. - DagangNews.com