Gamuda diunjur catat untung teras antara RM200 juta hingga RM220 juta pada 2QFY24 - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Gamuda diunjur catat untung teras antara RM200 juta hingga RM220 juta pada 2QFY24 - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - RHB Investment mengunjurkan Gamuda Bhd mencatatkan keuntungan teras antara RM200 juta hingga RM220 juta bagi 2QFY24 didorong kemajuan lebih baik daripada projeknya di luar negara.

 

Katanya, kumpulan itu menerusi anak syarikatnya di Australia, DT Infrastructure (DTI) baru-baru ini dianugerahkan kontrak kerja awal Ladang Angin Boulder Creek 372MW di Queensland daripada Aula Energy.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan anggaran kos RM4.94 juta bagi setiap MW terpasang, projek itu berpotensi menelan kos sekitar RM1.85 bilion dan bagi kontrak kerja awal yang diberikan kepada DTI, pihaknya menganggarkannya ia adalah antara RM6.17 juta hingga RM15.4 juta. 

 

"Memandang ke hadapan, Gamuda telah disenarai pendek untuk empat projek termasuk pakej terowong kedua Suburban Rail Loop (SRL) East (Glen Waverley ke Boxhill), lebuh raya di Melbourne, pakej pembesaran laluan Metro SRL dan potensi kerja tambahan bagi Stesen Metro West Sydney di Rosehill.

 

"Kumpulan itu berada di landasan tepat untuk mencapai saran penambahan kerja sebanyak RM25 bilion antara FY24 hingga FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment terus memihak kepada Gamuda untuk pendedahan projek luar negara yang besar sambil mengekalkan kehadiran mereka dalam ruang domestik melalui tender Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Empangan Hidroelektrik Padas Atas.

 

Pemangkin penarafan semula akan menjadi lebih pantas daripada jangkaan sekiranya kumpulan itu memenangi kontrak di Australi selain tiada sebarang perubahan harga untuk pakej terowong MRT3 di Malaysia.

 

"Selain itu Gamuda juga berpotensi memenangi kontrak di peringkat domestik daripada Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dan Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.46 sesaham," katanya - DagangNews.com