Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Gangguan bekalan tenaga di China baru-baru ini hanya memberi impak minimum kepada syarikat pengeluar semikonduktor dari Malaysia yang beroperasi di negara tersebut.
Ini berdasarkan semakan CGS-CIMB bersama penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT) Malaysia yang mendapati kilang pengeluaran Carsem Suzhou Ltd. masih kekal beroperasi walaupun dengan kapasiti lebih rendah hampir 70% disebabkan kekangan bekalan tenaga.
Sebaliknya, Inari Amerton Bhd. akan menutup kilangnya di Kunshan selama 10 hari berbanding 8 hari seperti biasa ekoran cuti umum sempena sambutan Hari Kebangsaan China pada awal Oktober.
Bagaimanapun, penganalisis CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, penutupan kilang pengeluaran ini dijangka memberi kesan minimum kepada kedudukan kewangan Inari memandangkan ia hanya menyumbang 8% daripada jualan bagi tahun kewangan 2021.
"Selain itu, kami juga mendapati, operasi kilang Unisem Chengdu Co.Ltd tidak terjejas memandangkan lokasi kilangnya terletak di wilayah Sichuan dan tidak mengalami gangguan tenaga.
"Unisem dianggarkan mempunyai pendedahan operasi pengeluaran yang tertinggi di China dan jualan daripada Unisem Chengdu ini dijangka menyumbang hampir 55% kepada tahun kewangan 2021," katanya dalam nota kajian hari ini.
China baru-baru ini, menghadapi krisis bekalan tenaga elektrik yang belum pernah berlaku sebelum ini,
hingga menyebabkan bekalan elektrik terputus secara drastik.
Kilang-kilang di seluruh negara terpaksa mengurangkan atau menghentikan operasi sehingga menjejaskan rantaian bekalan yang sudah tertekan akibat pandemik COVID-19.
Berikutan kesan minimum daripada gangguan bekalan tenaga dan keyakinan sektor semikonduktor Malaysia akan pulih pada separuh kedua, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'overweight' dengan menjangkakan pertumbuhan untung bersih akan meningkat 53% tahun ini.
Mohd. Shanaz berkata, ini didorong oleh kadar penggunaan yang lebih tinggi daripada pertumbuhan kandungan frekuensi radio (RF) dalam rangkaian 5G dan telefon pintar, penggunaan elektronik dalam sektor automotif dan permintaan kukuh bagi perkhidmatan infrastruktur awan.
Namun, katanya, di sebalik kes jangkitan yang semakin menurun dengan 63% daripada jumlah penduduk sudah divaksinkan sepenuhnya setakat 4 Oktober 2021, syarikat masih berdepan risiko penutupan kilang jika terdapatnya penularan wabak itu.
"Oleh itu, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya tidak menutup operasi kilang yang mempunyai lebih 80% kadar vaksinasi dalam kalangan pekerja bagi meminimumkan gangguan.
"Dalam hal ini, kami percaya ia akan membantu meningkatkan kadar penggunaan bagi pemain OSAT di negara ini pada suku keempat sejajar dengan jumlah pekerja yang tinggi," jelasnya.
Firma itu turut memberi saranan 'tambah' bagi saham Inari dan Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) dengan harga sasaran masing-masing pada RM4 dan RM51.50 berikutan kedudukan kukuh mereka dalam sektor semikonduktor. - DagangNews.com