Gardenia KL meraikan Hari Roti Sedunia sambil beramal bersama golongan yang memerlukan termasuk anak-anak Pertubuhan Nur Kasih di Klang.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Syarikat pembekal roti terkemuka, Gardenia Bakeries KL Sdn. Bhd. (Gardenia KL) meneruskan bakti amalnya dengan menyumbang bekalan roti sebanyak dua kali seminggu kepada 10 organisasi kebajikan.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, sumbangan itu akan diteruskan sepanjang tempoh enam bulan bersempena dengan sambutan Hari Roti Sedunia.
“Kakitangan dan sukarelawan yang menjaga golongan yang memerlukan memikul tugas yang berat dalam memastikan keterurusan dana dan barangan keperluan. Gardenia berhasrat membantu meringankan serba sedikit beban ini dengan menyumbangkan bekalan roti sepanjang tempoh
enam bulan.
"Komuniti adalah cukup penting buat Gardenia dan kami berbesar hati untuk memeriahkan perayaan Hari Roti Sedunia bersama mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari Roti Sedunia disambut pada 16 Oktober setiap tahun bagi memperingati ulang tahun Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang diasaskan pada tahun 1945 untuk mengatasi isu kelaparan.
10 organisasi kebajikan yang terlibat sebagai penerima sumbangan Hari Roti Sedunia oleh Gardenia KL termasuk Pertubuhan Nur Kasih Klang, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ar Raudhah Malaysia, Rumah Amal Baitul Barokah Wal Mahabbah, Pusat Jagaan Kasih Abadi, Rumah Kebajikan Misi Harapan, Persatuan Kebajikan Darul Hanan serta Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman.
Menerusi bantuan itu, sebanyak 12,375 buku roti Gardenia Original Classic dan 825 unit kaya Auntie Rosie Gardenia akan disumbangkan.
Secara keseluruhannya, sebanyak 13,200 unit produk Gardenia, bernilai kira-kira RM37,500 akan dihulurkan kepada 10 organisasi kebajikan yang dikenal pasti bermula Oktober 2020 sehingga April 2021.
Selain 10 organisasi berkenaan, Gardenia KL juga akan menghulurkan sumbangan kepada masyarakat orang asli di Rumah Haknuk Jenang di Raub.
Tambah beliau, pihaknya turut membantu mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menghulurkan sumbangan 600 pek Krim Rol Gardenia Delicia dan 600 Roti Ban Sambal Bilis kepada penghuni asrama Tropicana yang menjalani PKPB.
Usaha tersebut turut mendapat kerjasama oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.
“Gardenia sentiasa bersama para pengguna dan komuniti di saat senang mahupun susah. Di masa yang penuh cabaran dan ketidaktentuan ini, marilah kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain dalam apa cara sekalipun.
"Akhir sekali, marilah kita sama-sama amalkan norma baru agar diri dan yang tersayang terus selamat dan sihat," ujarnya lagi. - DagangNews.com