Gas Malaysia diramal catat untung bersih hampir RM100 juta pada 2Q disokong permintaan gas asli tinggi - UOB Kay Hian | DagangNews Skip to main content

Gas Malaysia diramal catat untung bersih hampir RM100 juta pada 2Q disokong permintaan gas asli tinggi - UOB Kay Hian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - UOB Kay Hian Research meramalkan Gas Malaysia Bhd merekodkan untung bersih hampir RM100 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) disokong permintaan gas asli dan keuntungan terkawal lebih tinggi.

 

Katanya, permintaan gas asli pulih pada suku kedua 2024 didorong peningkatan ekonomi yang lebih meluas, pemulihan dalam pengeluaran sarung tangan getah, serta faktor bermusim disebabkan asas rendah pada suku pertama tahun ini kesan penutupan kilang semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

 

"Berdasarkan anggaran, volum gas asli meningkat antara 5% hingga 6% dari tahun ke tahun pada suku kedua 2024.

 

"Sebahagiannya akan diimbangi oleh harga gas asli yang lebih rendah sebanyak RM44 bagi setiap tan metrik pada suku kedua tahun ini, berbanding RM48 setiap tan metrik setahun lalu. Keuntungan terkawal (pengagihan gas asli) juga dijangka lebih tinggi.

 

“Hasil terkawal 2024 dijangka lebih tinggi sebanyak RM30 juta, hasil daripada peningkatan 10% dalam kapasiti permintaan untuk 2024,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagi tahun penuh 2024, firma penyelidikan itu menjangkakan harga gas asli pada purata RM44 hingga RM45 bagi setiap tan, berbanding RM47 satu tan pada 2023.

 

Harga gas asli yang lebih rendah sedikit akan diimbangi oleh volum gas asli yang lebih tinggi (dengan jangkaan pertumbuhan antara 5% dan 6%) dan keuntungan kawal selia yang lebih tinggi.

 

"Keuntungan pengagihan yang lebih tinggi akan membantu menampan harga gas asli yang agak mendatar yang dijangkakan pada 2024. Oleh itu, kami menjangkakan keuntungan bersih 2024 yang kukuh sebanyak RM380 juta,"katanya.

 

Dari segi dividen, firma penyelidikan itu menjangka Gas Malaysia mengekalkan dividen yang sama seperti 2023 (22.8 sen sesaham), diterjemahkan kepada hasil dividen yang menarik sebanyak 6% berbanding 2024 dan 2025.

 

Secara berasingan, firma penyelidikan itu berkata Gas Malaysia dijangka mengadakan rundingan pada suku keempat 2024, memandangkan sebahagian besar kontrak pelanggan industrinya akan diperbaharui. Syarikat itu mempunyai 1,050 pelanggan industri setakat Disember 2023.

 

UOB Kay Hian menjangkakan Gas Malaysia akan menumpukan pada kecemerlangan operasi untuk membantu mewujudkan keteguhan pelanggan, terutamanya sekarang apabila kontrak siap untuk rundingan semula pada 2024.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM3.50 sesaham. - DagangNews.com