Gas Malaysia naikkan purata jualan gas asli kepada RM30.03/MMBtu bagi suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Gas Malaysia naikkan purata jualan gas asli kepada RM30.03/MMBtu bagi suku ketiga

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Gas Malaysia Bhd. menaikkan harga purata jualan gas asli menerusi segmen pengedaran unitnya, Gas Malaysia Energy and Services Sdn. Bhd. kepada RM30.03 per metrik juta unit termal British (MMBtu) bagi suku ketiga 2021. 

 

Ia meningkat berbanding RM26.85 per MMBtu bagi suku kedua sebelum itu. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Gas Malaysia berkata, harga purata jualan gas asli itu termasuk tarif pengangkutan sebanyak RM1.19 per MMBtu, kos yang dilepaskan pada 62 sen MMBtu dan tarif pengedaran RM2.05 MMBtu seperti diluluskan sebelumnya oleh Suruhanjaya Tenaga. 

 

Pada 2020, harga purata jualan gas asli ini adalah RM33.65 per MMBtu.

 

"Gas Malaysia ingin menjelaskan bahawa semakan harga jualan ini tidak termasuk jualan gas asli bagi gas asli kenderaan dan gas petroleum cecair yang dibekalkan menerusi silinder gas atau dalam jumlah besar," katanya hari ini.

 

Menurutnya, semakan semula harga jualan ini akan menyumbang secara positif kepada kedudukan kewangan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Pada 18 Disember lalu, Gas Malaysia mengumumkan menerima arahan daripada kerajaan untuk membuat keputusan mengenai kenaikan harga purata jualan gas asli setiap suku bagi tempoh setahun bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021. - DagangNews.com