GDEX catat kerugian suku tahunan kedua berturut-turut, ekoran persaingan sengit segmen kurier | DagangNews Skip to main content

GDEX catat kerugian suku tahunan kedua berturut-turut, ekoran persaingan sengit segmen kurier

Kumpulan itu berkata ia akan melakukan usaha berterusan untuk mengoptimumkan sumber manusia dan kecekapan operasinya.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pembekal logistik dan hantaran ekspres GDEX Bhd mencatatkan kerugian suku tahunan kedua berturut-turut pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22).

 

GDEX mencatatkan kerugian bersih RM2.72 juta pada 2QFY22, berbanding keuntungan bersih RM6.76 juta setahun sebelumnya, diheret terutamanya oleh segmen perkhidmatan kuriernya yang merugikan, kata syarikat itu dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia.

 

Hasil suku tahunan turun 12.7% kepada RM93.53 juta pada 2QFY22, daripada RM106.67 juta setahun sebelumnya.

 

Kerugian segmen perkhidmatan kuriernya sebelum cukai berjumlah RM6.29 juta pada 2QFY22, daripada keuntungan sebelum cukai sebanyak RM8.66 juta, kerana hasil lebih rendah pada RM83.83 juta daripada RM96.65 juta dalam tempoh yang sama.

 

Keputusan segmen perkhidmatan kurier yang lebih lemah, katanya, terjejas akibat persaingan sengit, peningkatan ketara dalam kos operasi berikutan pelaksanaan gaji minimum serta kesan perniagaan daripada jumlah penghantaran yang lebih rendah daripada pelanggan e-dagang utama.

 

"Gangguan dalam rantaian bekalan di China akibat kesan daripada sekatan untuk membasmi pandemik COVID-19 telah memberi kesan buruk kepada pelanggan dalam perniagaan peruncit," jelasnya.

 

Berbanding dengan suku sebelumnya 1QFY22, kerugian bersih meningkat daripada RM1.9 juta walaupun hasil meningkat 1.79% daripada RM91.89 juta.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 (6MFY22), GDEX mencatatkan kerugian bersih RM4.34 juta, berbanding keuntungan bersih RM13.28 juta pada 6MFY21. Hasil kumulatifnya menyusut 12.3% kepada RM185.42 juta daripada RM212.48 juta.

 

Melangkah ke hadapan, GDEX menjangka bahawa cabaran daripada penetapan harga yang kompetitif dalam industri perkhidmatan kurier dan logistik akan berterusan pada separuh kedua tahun ini.

 

Namun begitu, kumpulan itu berkata ia akan melakukan usaha berterusan untuk mengoptimumkan sumber manusia dan kecekapan operasinya.

 

Selain itu, ia akan mengembangkan penawaran produknya untuk meningkatkan ekosistem GDEX 2.0 melalui platform digital untuk pelanggan, serta mengukuhkan infrastruktur IT dan rangkaian penghantaran intra-ASEAN. - DagangNews.com