IPOH 3 Sept - Biovisma Sdn. Bhd. juga dikenali sebagai Green Energy Asia (GEA) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) secara rasmi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pengeluaran biofuel yang mampan.
Perkongsian ini bertujuan membangunkan penyelesaian yang inovatif dan kos efektif untuk menukar sisa minyak masak kepada biodiesel dan produk berharga lain.
GEA merupakan syarikat yang mengutip dan membeli minyak masak terpakai berlesen dan bersijil dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan International Sustainability & Carbon Certification (ISCC).
GEA dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama ini menandakan satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih mampan dengan memanfaatkan kepakaran penyelidikan UTP dan pengalaman industri GEA.
“Pusat Penyelidikan Biofuel dan Biokimia (CBBR) UTP akan memainkan peranan penting, membantu sektor perikanan tempatan dengan menghasilkan biodiesel untuk menjana bot komuniti.
“Selain itu, perkongsian ini merancang untuk melibatkan komuniti tempatan dalam inisiatif seperti mengumpul minyak masak terpakai dari kafeteria di sekitar UTP
“Ini bakal menyumbang kepada matlamat kampus rendah karbon universiti tersebut.,” ujar kenyataan tersebut.
MoU itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Biovisma Sdn. Bhd. (GEA), Mervyn Cheng dan Naib Canselor UTP, Profesor Dato' Ir Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.
Hadir menyaksikan MoU ialah Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak, Teh Kok Lim.
Kerjasama ini bukan sekadar mencipta biofuel, malah mengubah sisa menjadi kekayaan dan membina ekonomi yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti.
Dalam kenyataan sama, GEA memberitahu telah menandatangani MoU dengan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) sebagai rakan strategik bagi program melupuskan minyak masak terpakai secara beretika dan mesra alam.
Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam memastikan pengurusan sisa minyak masak dilakukan dengan cara yang bertanggungjawab dan lestari.
Ini merupakan kerjasama strategik kedua yang dimeterai GEA dengan pihak berkuasa tempatan di Perak selepas Majlis Bandaraya Ipoh. - DagangNews.com