Gemilang International akan memasarkan trak dan van kelas 4 keluaran GreenPower | DagangNews Skip to main content

Gemilang International akan memasarkan trak dan van kelas 4 keluaran GreenPower

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Gemilang International akan memasarkan trak keluaran syarikat EV Amerika Syarikat, GreenPower Motor Company Inc. di Malaysia.

 

Syarikat tempatan itu akan bekerjasama bagi membangun dan memasarkan trak dan van kelas 4 tugas berat dengan pemanduan sebelah kanan yang menggunakan EV Star Cargo dan EV Star Cab selain Casis GreenPower bagi memenuhi keperluan Asia, Asia Barat dan Eropah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi GreenPower, Fraser Atkinson berkata, pihaknya telah menghantar pemacu kanan EV Star Cab dan Casis kepada Gemilang dan akan menghantar EV Star Cab dan Casis serta EV Star Cargos tambahan yang dipesan.

 

"Ketika dunia terus beralih kepada kenderaan komersial elektrik, kerjasama kami yang dipertingkatkan dengan Gemilang membolehkan GreenPower bekerja daripada kedudukan yang kukuh dengan penyelesaian sedia ada," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Gemilang mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun sebagai pengeluar badan bas dan telah membina badan untuk pelbagai casis syarikat ternama, iaitu MAN, Volvo, Mercedes Benz, Scania, dan banyak lagi.

 

lori

 

Syarikat itu merupakan pengeluar utama kerja badan untuk kenderaan komersial dengan eksport ke lebih daripada 15 pasaran di seluruh dunia termasuk Australia, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Hong Kong.

 

Pegerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gemilang, Pang Chong Yong berkata, pihaknya teruja untuk mengukuhkan hubungan dengan GreenPower sebagai respon kepada peningkatan permintaan daripada pasaran sasaran kumpulan.

 

"Casis pemacu sebelah kanan GreenPower akan diselaraskan oleh Gemilang dan dihantar kepada pelanggan di Malaysia untuk percubaan," katanya.

 

Chong Yong berkata, potensi pasaran adalah besar kerana kerajaan seluruh dunia sedang berusaha untuk mendapatkan elektrifikasi dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

 

“Peluang pasaran untuk EV Star Cab dan Chassis termasuk menggunakannya sebagai platform untuk bas ulang-alik, bas sekolah, motorhome, dan trak kotak serta EV Star Cargo yang dipasang untuk penghantaran, perkhidmatan, utiliti dalam pasaran berpotensi termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong, Australia, dan beberapa negara lagi," katanya. - DagangNews.com