Gentari Renewables lantik Solarvest pasang sistem tenaga solar di lebih 300 stesen Petronas | DagangNews Skip to main content

Gentari Renewables lantik Solarvest pasang sistem tenaga solar di lebih 300 stesen Petronas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - Solarvest Holdings Bhd menerusi Solarvest Energy Sdn Bhd telah dilantik oleh Gentari Renewables Sdn Bhd bagi memasang sistem tenaga solar di lebih 300 stesen Petronas di Malaysia.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, projek itu akan dimulakan pada April 2024 dan akan menyaksikan pemasangan kapasiti solar lebih 5.4 MWp di lebih 300 stesen Petronas. 

 

Gentari Renewables merupakan anak syarikat Gentari Sdn Bhd, unit Petronas yang memberi tumpuan kepada penyampaian rumusan tenaga bersih

 

Solarvest berkata, sistem solar itu dijangka beroperasi menjelang 2027.

 

Setelah beroperasi, mereka dianggarkan dapat mengimbangi sekitar 5,035 tan pelepasan karbon dioksida setahun.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, operasi minyak dan gas menyumbang kira-kira 15% daripada jumlah pelepasan berkaitan tenaga di seluruh dunia, bersamaan dengan 5.1 bilion tan pelepasan gas rumah hijau.

 

“Projek ini menunjukkan potensi tenaga solar untuk mengurangkan pelepasan karbon operasi perniagaan bahan api runcit.

 

“Kami yakin bahawa kepakaran kami dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek ini dan ia membuka jalan kepada Malaysia yang lebih bersih," katanya.

 

Beliau berkata, perniagaan di Asia Tenggara sedang giat mencari rumusan untuk mengemudi peralihan tenaga.

 

“Dengan menerima rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti sistem solar PV, perniagaan mengambil langkah bagi memacu kemampanan dan mengurangkan kesan alam sekitar.

 

“Lonjakan dalam permintaan memacu buku tender dan buku pesanan kami dengan pantas, mencerminkan pertumbuhan hasil yang ketara.

 

“Kami menyasarkan untuk memacu peralihan tenaga bersih ke negara jiran dengan memanfaatkan rangkaian global Gentari,” katanya.- DagangNews.com