Genting HK catat kerugian lebih tinggi pada 1H20 | DagangNews Skip to main content

Genting HK catat kerugian lebih tinggi pada 1H20

KUALA LUMPUR 4 Ogos  - Genting Hong Kong Ltd (Genting HK) memberi gambaran bahawa syarikat itu mengalami kerugian besar dan signifikan pada separuh pertama 2020, berbanding tahun lalu menerusi garis panduan pendapatannya.

Genting HK dalam kenyataannya kepada saham Hong Kong semalam memberitahu, kerugian yang dicatatkan itu adalah susulan penggantungan sementara operasi pelayaran termasuk Dream Cruises, Crystal Cruises and Star Cruises serta pembinaan kapal oleh kumpulan syarikatnya. 

Sehubungan itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay berkata, Genting HK akan terus memantau evolusi pandemik COVID-19 dengan lebih terperinci.

 

Tan Sri
Lim Kok Thay

 

Malah, sebarang perkembangan baharu atau isu berbangkit akan dimaklumkan segera kepada pemegang saham.

“COVID-19 memang sudah dijangka akan terus menjejaskan perniagaan kumpulan syarikat, memandangkan penularannya mewujudkan ketidaktentuan untuk pihak berkuasa berkaitan membuat keputusan sama ada pelayaran dibenarkan atau tidak,” katanya seperti dipetik theedgemarkets.com.

Pada separuh pertama 2019, Genting HK mencatatkan kerugian bersih AS$56.6 juta berbanding AS$141.27 pada tempoh sama bagi 2018. 

Ketika perniagaan Genting HK terjejas akibat COVID-19, kumpulan syarikat itu telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya termasuk mengurangkan beberapa kos operasi.

Selain itu, Genting HK turut melaksanakan penjimatan tunai dan pengumpulan modal bagi menampung kehilangan pendapatan dan operasi, mengurangkan perbelanjaan operasi darat serta kapal.

Malah, syarikat itu turut menangguhkan semua perbelanjaan modal serta penyerahan Crystal Endeavor dan  Global Dream di bawah pembinaan limbungan kapal MV Werfen selama setahun.

Genting HK juga meningkatkan profil kematangan hutang syarikat dengan mendapatkan penangguhan pembayaran hutang selama 12 bulan, berjumlah kira-kira AS$220 juta. - DagangNews.com