IPOH 18 Jan - Daerah Gerik akan menjadi lokasi kedua bagi penganjuran Hari Terbuka Usahawan Perak 2023 pada bulan hadapan dengan sasaran penyertaan 60 usahawan tempatan.
Program anjuran Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) ini susulan kejayaan yang dipamerkan pada penganjuran kali pertama di daerah Manjung 7 Januari lalu.
Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, sebanyak RM28,000 nilai jualan berjaya dicapai sepanjang hari terbuka tersebut yang berlangsung sehari.
Sehubungan itu katanya, edisi kedua juga diharap dapat mencapai angka jualan yang baik.
"Program ini akan dijayakan dengan kerjasama Majlis Daerah Gerik dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.
"Pihak penganjur juga menyasarkan kehadiran kira-kira 4,000 pengunjung," ujarnya ketika dihubungi DagangNews.com.
Menurut Mohamad Rozlan lagi, Hari Terbuka Usahawan Perak 2023 Gerik itu turut disokong lebih 30 agensi berkaitan keusahawanan negeri dan persekutuan.
Antaranya Pejabat Mara Negeri Perak, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) negeri Perak, Jabatan Pertanian negeri dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Perak.
"Objektif utama program bagi membolehkan usahawan dan bakal usahawan tempatan mendapatkan perkhidmatan semua agensi keusahawanan berkaitan di bawah satu bumbung.
"Sesi pocket talk yang diadakan agensi berkaitan seperti SSM dan institusi kewangan" ujarnya. - DagangNews.com