GIIB cadang lupus tanah industri di Tuaran kepada Kozai Realties pada harga RM14 juta | DagangNews Skip to main content

GIIB cadang lupus tanah industri di Tuaran kepada Kozai Realties pada harga RM14 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 April - GIIB Holdings Berhad mencadangkan pelupusan sebidang tanah perindustrian seluas 1.69 hektar di Tuara, Kota Kinabalu kepada Kozai Realties Sdn. Bhd. pada harga RM14 juta. 

 

Kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Big Wheel Green Tyres Sdn Bhd (BWGT) telah memeterai perjanjian jual beli dengan Kozai Realties untuk cadangan itu.

 

BWGT terlibat dalam perniagaan pemborongan dan peruncitan tayar baharu, aksesori motor dan produk berkaitan getah

 

"Pertimbangan pelupusan sebanyak RM14 juta itu adalah tawaran terbaik yang diterima setakat ini," kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kos asal pelaburan bagi tanah Tuaran ialah RM2.28 juta pada Jun 2005.

 

Cadangan itu bukan percubaan pertama kumpulan untuk melupuskan tanah itu, pada Oktober 2019, GIIB telah mengumumkan cadangan pelupusan sebanyak RM13 juta, tetapi ditamatkan pada Februari 2020.

 

Kumpulan itu berkata, tanah Tuaran pada awalnya adalah untuk dibangunkan sebagai taman perindustrian. 

 

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada usaha mengembangkan perniagaan getahnya, tanah itu dikenal pasti berpotensi untuk dilupuskan bagi mengumpul dana bagi modal kerja kumpulan itu.

 

“Memandangkan pasaran hartanah yang tidak menentu dan keadaan ekonomi yang tidak stabil, pihak pengurusan memutuskan untuk melupuskan tanah itu dan memberi tumpuan kepada perniagaan getah mulai 2019.

 

"Lembaga pengarah percaya bahawa cadangan pelupusan tanah akan menyediakan ruang kepada kumpulan itu untuk mengumpul dana sebagai modal kerja tambahan selain membayar sebahagian pinjaman bank dan menikmati penjimatan faedah," katanya.

 

Cadangan pelupusan itu dijangka siap menjelang suku ketiga 2023. - DagangNews.com