Go Hub Capital catat premium 45 sen atau 129% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Go Hub Capital catat premium 45 sen atau 129% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Julai - Go Hub Capital Bhd, penyedia rumusan teknologi maklumat (IT) pengangkutan utama, membuat penampilan sulung kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 80 sen, premium 45 sen atau 128.57% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 35 sen.

 

Sejumlah 43.79 juta saham kumpulan itu telah diniagakan pada pukul 9 pagi.

 

Menerusi IPO yang ditawarkan, Go Hub Capital memperoleh kira-kira RM37.51 juta dengan sejumlah RM24.71 juta diperuntukkan ke arah penembangan perniagaan manakala RM4 juta digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank.

 

Selain itu, sejumlah RM4.8 juta akan digunakan untuk keperluan modal kerja dan baki RM4 juta dikhaskan bagi kegunaan pembayaran perbelanjaan penyenaraian. 

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Go Hub Capital, Zulkifly Zakaria berkata, penyenaraian itu merupakan kejayaan penting untuk kumpulan dan ia mencerminkan dedikasi pasukan serta keyakinan pasaran terhadap visi dan strategi kumpulan.

 

"Kami teruja dengan peluang yang tersedia kerana ia membolehkan kami meningkatkan lagi perkhidmatan dan meluaskan jangkauan kami di Malaysia.
 

“Sambutan pelabur yang positif terhadap IPO kami menggariskan kepercayaan pasaran terhadap keupayaan dan potensi pertumbuhan kami. 

 

"Kami berharap dapat memanfaatkan momentum ini untuk memacu pertumbuhan Go Hub dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia rumusan IT utama dalam sektor pengangkutan awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk Go Hub.  - DagangNews.com