Google jemput Sugu Pavithra kongsi kejayaan dalam program inisiatif digital  | DagangNews Skip to main content

Google jemput Sugu Pavithra kongsi kejayaan dalam program inisiatif digital 

sugu

KUALA LUMPUR 8 Julai - Suri rumah tangga, Sugu Pavithra yang terkenal dengan video masakan menerusi platform YouTube antara individu yang dijemput Google untuk berkongsi kisah kejayaannya hari ini.

Program 'Advancing Malaysia's Economic Recovery' yang berlangsung secara atas talian itu merupakan salah satu inisiatif dianjurkan Google di negara ini.

Menceritakan pengalamannya kepada Google, Pavithra mendedahkan kehidupannya yang sebelum ini dilalui seperti orang lain kini dipenuhi dengan komitmen selepas videonya menerima sambutan dan dikenali ramai. 

“Kami mendapat ilham daripada kejayaan kecil jiran kami dengan YouTube, dan ini telah mendorong minat kami untuk mencubanya.

"Kami gembira bahawa perjalanan kami di YouTube setakat ini menjadi sesuatu yang telah memberi manfaat, memberikan kami sumber pendapatan alternatif,” kongsinya.

success story

Program itu turut disertai oleh Ketua Pemasaran Google Singapura, Malaysia dan Asia Tenggara, Lars Anthonisen; Ketua Negara Google Malaysia, Marc Woo dan Ketua Komunikasi Google Malaysia, Zeffri Yusof. 

Selain Pavithra, Google turut menjemput Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran Langit Collective, Melisa Lim dan Pengasas Bersama The Lorry, Nadhir Ashafiq untuk berkongsikan kisah kejayaan mereka.  

Pavithra berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan sikapnya yang rendah hati dan bersederhana yang ditonjolkan dalam video masakan beliau.

Sementara itu, bermula pada Mac lalu, Google telah melancarkan beberapa inisiatif dan sumber kewangan dalam membantu  pemilik perniagaan di negara ini dan rantau Asia Tenggara untuk menyesuaikan diri dengan cepat dan mempelajari kemahiran digital baharu.

Antaranya, Google mengumumkan geran RM14 juta untuk menyokong program Go Digital ASEAN yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Penyelaras ASEAN  bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) serta The Asia Foundation.

Google for Startups Accelerator: Southeast Asia iaitu sebuah program lain yang dilaksanakan Google secara atas talian selama tiga bulan buat syarikat permulaan teknologi berpotensi tinggi di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, Google juga telah mengalihkan program latihan secara bersemuka, Mahir Digital Bersama Google ke atas talian dengan pembaharuan modul pembelajaran. 

Dalam pada itu, Woo berkata, walaupun COVID-19 memberi cabaran kepada banyak perniagaan, tetapi krisis itu turut memberi peluang untuk mereka melonjak lebih jauh. 


“Kami telah melihat rakyat dan perniagaan-perniagaan menyesuaikan diri dengan cabaran, tekad dan kepintaran, dan ketika kita menuju ke arah pemulihan ekonomi Malaysia, kami percaya satu-satunya cara untuk kita keluar daripada sini (krisis) adalah dengan terus melangkah,” katanya. - DagangNews.com