Grab Malaysia jalin kerjasama dengan FAM sebagai rakan e-hailing, penghantar makanan rasmi skuad Harimau Malaya | DagangNews Skip to main content

Grab Malaysia jalin kerjasama dengan FAM sebagai rakan e-hailing, penghantar makanan rasmi skuad Harimau Malaya

Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, JJ Tan (depan kiri) bersama Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor (depan, dua dari kiri); Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram (depan, dua dari kanan) dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika memeterai perjanjian kerjasama.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Grab Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai rakan e-hailing dan penghantaran makanan rasmi skuad Harimau Malaya.

 

Menerusi kerjasama itu, Grab Malaysia menawarkan sumbangan tunai yang dikhaskan untuk memajukan program pasukan bola sepak kebangsaan dan juga tajaan dalam bentuk pelbagai produk dan perkhidmatan merangkumi perjalanan ke lapangan terbang secara percuma, baucar perjalanan Grab, GrabFood dan juga GrabMart.

 

Pengarah Komersial dan Penghantaran, Grab Malaysia, JJ Tan berkata, sebagai jenama tempatan piahknya berbangga di atas pengiktirafan sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk Harimau Malaya. 

 

"Melalui kerjasama ini, kami akan memastikan keperluan harian mereka diuruskan dengan sempurna, sekali gus membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap setiap perlawanan. 

 

"Kami teruja untuk memainkan peranan dalam memacu skuad ini ke kancah antarabangsa, dan membawa kegembiraan kejayaan mereka lebih dekat kepada jutaan pengguna dan rakan kongsi kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bersempena pelancaran inisiatif itu, Grab telah menganjurkan peraduan ‘Jom Support Harimau Malaya’ dan akan menaja enam rakan pemandu dan rakan penghantarnya bagi menyaksikan Harimau Malaya beraksi menentang Korea Selatan pada 25 Januari 2024. 

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, Grab merupakan jenama yang berkongsi objektif dan nilai yang sama dengan mereka dan pihaknya gembira kerana dapat bersama-sama menyumbang kepada kemajuan bola sepak negara.

 

"Grab Malaysia akan menyertai rangkaian rakan kongsi dan penaja FAM, dalam menyokong komitmen persatuan ini demi masa depan bola sepak negara. 

 

"Ini termasuk inisiatif berterusan seperti ‘FAM Grassroots’ yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda di peringkat asas sukan ini," katanya. - DagangNews.com