Green Packet cadang lupus keseluruhan pegangan dalam Oasis Capital Investment kepada Velocity Capital berharga RM11 juta | DagangNews Skip to main content

Green Packet cadang lupus keseluruhan pegangan dalam Oasis Capital Investment kepada Velocity Capital berharga RM11 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Dis - Green Packet Berhad memeterai perjanjian jualan saham (SSA) dengan Velocity Capital Sdn. Bhd. bagi cadangan pelupusan keseluruhan pegangan ekuiti dalam Oasis Capital Investment Bank Ltd. berharga RM11 juta. 

 

Kumpulan itu berkata, cadangan pelupusan saham itu adalah kerana perkhidmatan utama Oasis Capital Investment tidak sejajar dengan hala tuju perniagaan Green Packet iaitu memberi tumpuan kepada membina organisasi yang kukuh secara asas dan mengembangkan perniagaan platform digital.

 

Mereka juga menyasarkan untuk mengurangkan perbelanjaan dan liabiliti operasi yang tidak produktif.

 

"Green Packet bercadang untuk menggunakan hasil jualan untuk menamatkan pinjaman antara syarikat dan bagi kegunaan modal kerja," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pertimbangan pembelian sebanyak RM11 juta itu akan digunakan untuk menamatkan pinjaman antara syarikat berjumlah RM10 juta dan untuk membiayai sebarang perbelanjaan perniagaan serta pengembangan masa hadapan.

 

Kumpulan itu positif terhadap prospeknya dan pelupusan saham itu akan memperbaiki kedudukan aliran tunai dan mengurangkan pinjaman kerana hasil tersebut boleh digunakan sebagai modal kerja bagi membiayai perniagaan teras sedia ada.

 

Risiko berkaitan pelupusan saham itu adalah perkara biasa kepada mana-mana kontrak komersial dan ia termasuk pelanggaran atau ketidakpatuhan kewajipan di bawah SSA.- DagangNews.com