Green Packet peruntuk RM100j bangunkan pusat data Internet | DagangNews Skip to main content

Green Packet peruntuk RM100j bangunkan pusat data Internet

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pembekal perkhidmatan telekomunikasi, Green Packet Berhad (Green Packet) memperuntukkan pelaburan permulaan sebanyak RM100 juta untuk membangunkan pusat data Internet di Malaysia dengan kolaborasi bersama Tencent Cloud. 

Pelaburan itu merangkumi pembangunan infrastruktur termasuk 600 pelayan dan penyediaan perisian.

Bagaimanapun, jumlah pelaburan mungkin akan bertambah sehingga RM300 juta hingga RM500 juta bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan Green Packet, CC Puan berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak tertakluk selama lapan tahun dengan tambahan dua tahun bermula hari ini. 

“Kami percaya selepas empat hingga lima tahun lagi, kami akan melabur lebih 3,000 hingga 4,000 pelayan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Tandatangan Perjanjian Kerjasama antara Green Packet dengan Tencent Cloud yang diwakili oleh Timbalan Presidennya, Flying Wu dan disaksikan oleh Menteri  Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin. 

 

Green Packet
CC PUAN (kanan) bercakap kepada Khairy Jamaluddin ketika Majlis Tandatangan Perjanjian Kerjasama antara Green Packet dengan Tencent Cloud. - Gambar oleh Green Packet

 

Kolaborasi berkenaan menyaksikan Green Packet bertanggungjawab untuk membangunkan infrastruktur pusat berkenaan, manakala Tencent Cloud pula akan menyediakan perkhidmatan.

Pembangunan tersebut akan mengambil tempoh enam bulan sebelum infrastuktur pengkomputeran awan dapat sepenuhnya dilaksanakan dan operasi penuh dijangka bermula suku pertama 2021.

Green Packet menyasarkan pembinaan pusat data Internet berkenaan menyumbang 30% hingga 40% daripada hasil keseluruhan syarikat bermula 2022. 

Kerjasama itu akan turut memberi manfaat kepada anak syarikat Green Packet, Kiplepay Sdn Bhd (KiplePay) yang dapat menggunakan infrastruktur berkenaan untuk dibangunkan di Malaysia dan perkhidmatan tempatan menerusi kemahiran Tencent Cloud sedia ada. - DagangNews.com