Haily raih untung bersih RM2.8 juta pada Q12021 | DagangNews Skip to main content

Haily raih untung bersih RM2.8 juta pada Q12021

KUALA LUMPUR 17 Julai - Haily Group Bhd (Haily) yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 21 Julai ini mencatatkan untung bersih RM2.8 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021.

 

Pada suku tahunan itu, ia mencatatkan pendapatan sebanyak RM43.30 juta dengan sebahagian besar disumbangkan segmen pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman kumpulan berjumlah RM43.21 juta atau 99.80 peratus daripada keseluruhan pendapatan, sementara baki RM0.09 juta diperoleh daripada kerja pembinaan kejuruteraan awam dan penyediaan sewa mesin dan peralatan pembinaannya.

 

Lembaga Pengarah Haily mengisytiharkan dividen interim 1.68 sen bagi setiap saham biasa, membabitkan jumlah pembayaran kira-kira RM2.996 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, yang mana tarikh kelayakan dan pembayaran akan ditentukan dan diumumkan selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE.

 

Dalam satu kenyataan, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai, berkata kumpulan telah mengharungi keadaan ekonomi yang suram dan kontrak belum dibilkan dijangka terus menjana pendapatan sehingga 2023.

 

Beliau berkata, setakat 10 Jun 2021, Haily mempunyai 18 projek pembinaan bangunan serta dua projek pembinaan yang berkaitan dengan kejuruteraan awam yang sedang dilaksanakan.

 

Katanya, jumlah kontrak diperoleh dan kontrak belum dibilkan masing-masing adalah RM460.04 juta dan RM249.58 juta.

 

"Dengan ketidaktentuan yang dicetuskan COVID-19, kumpulan tetap optimis terhadap prospek dan tinjauan industri pembinaan dijangka pulih pada akhir tahun kewangan semasa.

 

"Walaupun begitu, kumpulan telah bertahan setakat ini dan kumpulan berpendapat bahawa keputusan kewangannya untuk 2021 akan tetap memberangsangkan," kata See, lapor Berita Harian.

 

Haily pada dasarnya adalah kontraktor utama yang terbabit dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di Wilayah Selatan Semenanjung, khususnya Johor, dan juga terbabit dalam penyediaan sewa mesin dan peralatan pembinaan.

 

Haily menyasarkan meraih dana RM20.40 juta daripada terbitan awamnya, dan bercadang menggunakan RM4.20 juta (20.59%) untuk pembelian mesin pembinaan, peralatan serta perisian pengurusan kontrak dan perakaunan dan peralatan pejabat baharu; RM6.0 juta (29.41%) untuk modal kerja untuk projek pembinaan; RM7.0 juta (34.31%) untuk pembayaran pinjaman bank dan selebihnya RM3.2 juta (15.69%) untuk perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com