IPOH 4 Sept - Singapura akan menjadi pasaran eksport pertama HAMI EcoFarms Sdn. Bhd. (HAMI EcoFarms) yang mengeluar dan memasarkan varieti tembikai Jepun organik premium.
Syarikat ini sedang mendapatkan pensijilan Malaysia Best daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) setelah piawaian produk dilakukan.
HAMI EcoFarms mengusahakan tanaman tersebut di Kawasan Perindustrian Pengkalan II di sini.
Ketika ini HAMI EcoFarms menumpukan pasaran di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor khususnya melibatkan restoran bertaraf lima bintang.
Beroperasi sejak tahun 2020, HAMI EcoFarms menggunakan teknologi rumah hijau canggih bagi memaksimumkan hasil pengeluaran serta menjamin kualiti produk yang tinggi.
Pengarah Urusan HAMI EcoFarms, Aw Chee Choy berkata, syarikat itu mendahului dalam bidang pertanian moden dan lestari apabila berjaya mengusahakan tembikai Jepun organik premium yang seumpamanya di Malaysia
Katanya, penggunaan teknologi moden bukan sahaja memacu kecekapan, malah memastikan pengeluaran tanaman premium berkualiti tinggi yang terjamin keselamatannya kepada pengguna.
“Ketika ini kami mengendalikan rumah hijau seluas 10,000 meter persegi untuk penanaman tembikai premium serta ladang terbuka seluas 8,500 meter persegi untuk buah markisa dengan penjanaan kuasa solar.
“Secara purata HAMI EcoFarm mampu menghasilkan kira-kira 2,500 biji pelbagai varieti tembikai Jepun organik premium setiap bulan," katanya ketika ditemui di sini.
Antara varieti tembikai Jepun organik premium yang ditanam seperti Hami Akane, Hami Asahi, Hami Fujisawa, Hami Golden Emerald, Hami Hikari, dan Hami Mizuki.
Proses penanaman tembikai HAMI mengikut langkah yang teliti iaitu daripada percambahan biji benih sehingga tuaian yang mengambil masa tiga bulan.
Jelas Chee Choy, pihaknya berpegang pada prinsip 'Yang Terbaik adalah Alami’ dengan menekankan kaedah organik dan keseimbangan ekologi.
“Kami menggunakan baja organik untuk mengekalkan kesuburan tanah tanpa bahan kimia sintetik serta memberi tumpuan kepada pengurusan iklim dan kawalan perosak yang berkesan,” ujarnya.
HAMI EcoFarms juga mengalu-alukan orang ramai untuk meneroka keunikan tanaman di ladangnya dan menerima kedatangan pengunjung.
Lawatan boleh diatur melalui temu janji dengan menghubungi talian 010-769-0733 atau 016-557-0689. - DagangNews.com