MEREPPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
SUASANA di sekitar asrama sunyi. Ramai yang sudah pulang ke kampung halaman sempena cuti umum yang panjang. Yang tinggal ialah pelajar Sabah dan Sarawak. Cerita ini kejadiannya belum wujud pun syarikat penerbangan murah tetapi bukanlah kisah purbakala. Awal 1990-an sahaja.
Bertentangan dengan asrama lelaki (agak jauh, sebenarnya) ialah asrama perempuan. Kelihatan sudah gelap. Nampaknya satu blok penghuninya sudah pulang. Menjelang 10 malam, saya mulakan kerja.
Saya tahu di bilik sebelah ada teman dari Sabah tapi disebabkan dia daripada fakulti lain, belum mesra lagi ketika itu untuk diajak tinggal sebilik. Lagi pun apa yang hendak ditakuti? Itu saya kata.
Sekitar 1 pagi, angin bertiup dingin nyaman masuk melalui panel tingkap besar. Dengan lagu I Got The Power oleh kumpulan Snap! dimainkan perlahan di sisi, saya yakin boleh menghabiskan kerja sekolah yang sebenarnya ‘agak banyak’. Sesekali dari kawasan belukar di sebelah asrama perempuan, terdengar salakan anjing. Bunyi itu tenggelam dek lagu daripada radio.
Beberapa ketika kemudian, salakan itu makin kuat. Mungkin sekawan anjing sedang berjalan ke arah asrama, maklumlah bila tidak ramai penghuni, haiwan ini bebas merayap. Tetapi salakan kali ini begitu dekat. Seperti depan tingkap (bilik saya di tingkat dua). Salakan makin jelas. Dalam hati, anjing ni dah nampak ‘benda’. Menyumpah juga dalam hati.
Kemudian sesuatu yang tidak mahu berlaku, telah berlaku. Salakan terakhir ini panjang. Melolong. Sayu. Di kemuncak lolongan itu, suara anjing bertukar menjadi suara perempuan.
Halus tapi ngeri. Serius ngeri. Sangat ngeri. Segala pancaindera badan cemas. Bulu roma tengkuk tegak (Hinggakan semasa menaip cerita ini 29 tahun kemudian, saya masih boleh rasa tahap ngeri tika dan saat itu... mujur menaip waktu siang).
Hendak lari ke bilik teman di sebelah pun tidak berani buka pintu. Hendak melihat ke luar tingkap, SORRY!!... Bila sudah sampai tahap panik, melilau cari ‘senjata’. Ada pisau pemotong kertas atas meja.
Fikir semula. Manusia pun tak mati ditikam pisau kecil, apa lagi hantu! Cari ‘senjata’ lebih panjang. Jumpa pembaris besi. Pun tidak yakin. Baru teringat al-Quran. Dalam almari. Duduk atas katil, baca.
Bila panik, bacaan pun lintang-pukang. Tahu-tahu, dalam ketakutan nan teramat terus terlelap... sampai pagi (ini namanya darjah ketakutan maksimum). Saya terjaga bila sekumpulan ROTU lalu di hadapan asrama. Bukan saja bunyi derap but tapi nyanyi sekuat hati. Tidak apa. Waktu lain memang pasti kena maki. Tapi hari ini istimewa sikit. Saya bangun, kemas beg dan terus pulang ke rumah kakak. Demam tiga hari!
Tidak berani gelak
Bila bercerita kemudian kepada teman-teman sebilik, mereka tidak gelak. Masing-masing tahu risiko gelak akan boleh mengena mereka juga.
Cuma satu soalan saya tidak boleh jawab. “Kenapa tak jenguk ke luar tingkap? Tengok hantu...". Yang tukang bertanya ini kononnya belajar silat. Saya malas nak layan.
Sebenarnya, sampai sekarang saya tidak pernah lihat hantu dengan mata dan paling hampir hanyalah kena usik dengan ‘salakan anjing bertukar suara perempuan’ pada 1991. Ini antara sebab saya tidak menyukai filem genre seram atau hantu.
Ada pendapat merumuskan orang yang percaya pada hantu sebagai kolot dan tidak maju. Itu kata orang yang belum pernah kena usik. Bila sudah kena, rasailah gigil dan panik yang Alfred Hitchcock pun takkan boleh cetuskan dalam filem arahannya. Secara ringkasnya, kewujudan makhluk halus itu diperakui ada, dalam mana-mana agama dan kepercayaan.
Percaya pada kewujudannya tidak bermakna hingga patut menyembah atau memujanya. Dalam Islam, itu syirik. Menurut seorang ustaz, kuasailah ilmu yang terkandung dalam al-Quran, hanya dengan ilmu tersebut, mampu menyekat iblis dan syaitan daripada mempengaruhi, apalagi menakut-nakutkan manusia.
Maka apakah dengan mengaku percaya hantu wujud menjadikan kita kolot, tidak maju? Mungkin benar. Ini adalah kerana jika terlalu percaya dan takut, tentunya kebimbangan seumpamanya boleh menyekat kita daripada bekerja shift malam, misalnya.
Tetapi dari sudut lain, ketakutan pada hantu juga mendatangkan hasil pendapatan. Ada yang buat program TV mencari hantu. Ada yang jadi penangkap/penghalau hantu profesional. Ada yang buat filem bersambung-sambung pasal hantu. Ada filem hantu serius. Ada lawak. Semua buat duit hantu.
Dalam YouTube, berlambak video-video penjejak hantu di Malaysia. Ada yang one-man show, ada yang bawa geng. Siang hari mereka kenal pasti rumah yang tidak berpenghuni, terbengkalai atau terbakar. Malam mereka datang balik, pasang video.
Lawaknya, setakat yang saya tertengok video mereka ini, 99% cerita mereka menunggu hantu. Baki 1% bila mereka kata ada `bunyi' atau `bau' atau terasa sesuatu cuit badan mereka. Ada juga yang balik rumah, edit video buat bulatan sana sini, perbesarkan objek. Macam-macam muzik latar digunakan. Paling tidak berkesan guna muzik The X-Files. Adoi...
Jadi 99% adalah cerita pencari hantu itu menunggu hantu. Ada yang siap dengan kalimah. "Wahai penunggu, aku datang bukan hendak bergaduh, aku datang sebagai kawan. Menjelmalah sekejap." Dalam hati tertanya-tanya, kenapa diseru hantu menjelma? Gilakah? Menjelmalah agar video aku dapat tontonan berjuta orang?..."
Bunyi macam memperlekehkan mereka pula. Maafkan saya. Lekeh-lekeh pun, video mereka dapat tontonan puluhan ribu. Itu bermakna mereka ada peminat dan pengikut yang berharap sangat hendak melihat hantu. Daripada konteks komersial, tontotan tinggi YouTube itu bermaksud perolehan banyak untuk pencari hantu. Dalam YouTube sahaja pun memadailah.
Saya tidak tergolong dalam kelompok itu. Saya tidak pernah tengok hantu, cuma kena kacau guna sistem audio mengilai depan tingkap hostel dan saya tidak berhasrat hendak tengok pun. Ada banyak lagi benda lain di dunia wajar dicari tengok. Biarlah anda yang suka hantu teruskan hobi menonton video pencari hantu itu.
Bagi yang sinikal terhadap kewujudan hantu dalam kalangan masyarakat Malaysia, ketahuilah bahawa fenomena ini tidak terhad kepada kita semata-mata.
Satu kaji selidik di Amerika Syarikat mendapati hampir separuh daripada rakyat negara kuasa dunia itu, percaya hantu itu wujud dan roh orang mati akan kembali ke sesuatu tempat atau keadaan.
Kaji selidik HuffPost/YouGov terhadap 1,000 orang dewasa mendedahkan bahawa sebanyak 45% daripada mereka percaya ada hantu. Sebanyak 64% percaya ada kehidupan selepas mati dan 59% mengatakan mereka tidak yakin mereka pernah melihat hantu manakala 43% merasakan hantu atau roh boleh mencedera atau berinteraksi dengan manusia.
Kaji selidik ini juga menolak pandangan pengkritik yang menafikan kewujudan hantu, semata-mata hantu tidak boleh dibuktikan secara sahih. Yang nyata, persepsi orang ramai adalah berbeza.
Malah, hasil kaji selidik tersebut tidak jauh berbeza dengan kajian CBS News yang menunjukkan ‘hampir separuh daripada rakyat AS mengatakan mereka percaya adanya hantu. CBS News juga mendapati 78% rakyat AS percaya ada kehidupan selepas mati.
Rumusannya, saya sendiri tidak pasti. Mungkin kita boleh kaitkan hantu ini seperti UFO. Ada gambar UFO tapi tetap misteri. Kita ada lihat hantu, ada gambar tapi tidak siapa mampu menulis tesis Phd mengenainya secara ilmiah. Walau apa pun, saya tidak berhasrat melihat hantu pada bila-bila masa akan datang. - DagangNews.com
Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu It's Gonna Be (500 miles) oleh The Proclaimers berulang-ulang kali. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com. Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel [email protected]