Hanya 8 kali cabutan khas 4D setahun, bermula 2023 - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Hanya 8 kali cabutan khas 4D setahun, bermula 2023 - Perdana Menteri

PUTRAJAYA  5 Dis - Syarikat perjudian hanya dibenarkan untuk mengadakan cabutan khas 4D sebanyak lapan kali setahun bermula 1 Januari 2023.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa ia merupakan langkah drastik pada hari pertama beliau selaku Menteri Kewangan, lapor Free Malaysia Today.

 

Pada 2021, kerajaan telah memberi kebenaran kepada syarikat perjudian untuk mengadakan 22 cabutan khas untuk 4D tahun ini, selain daripada cabutan biasa tiga kali seminggu.

 

Anwar menegaskan bahawa kerajaan pada masa itu telah merangkumi pemimpin PAS dan Bersatu.

 

Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, hanya terdapat lapan cabutan istimewa seperti itu.

 

Anwar juga berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan jawatankuasa pengurusan bencana dan kesiapsiagaan banjir Putrajaya.

 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ditugaskan untuk memastikan semua perkara yang belum selesai berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan disegerakan.

 

Beliau juga berkata, kerajaannya akan meneruskan sebarang dasar baik yang diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - DagangNews.com