Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 15 Dis - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak diingatkan untuk tidak membawa barang-barang di luar kebiasaan seperti ayam, kambing atau lembu pada bagi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, semua ADUN perlu mendapatkan kebenaran Speaker atau Setiausaha DUN jika mahu membawa masuk barangan di luar kebiasaan untuk digunakan dalam perbahasan.
Beliau berkata, pihaknya memahami hasrat ADUN-ADUN yang berusaha sedaya upaya untuk membawakan isu-isu semasa demi kepentingan rakyat.
"Etika perbahasan perlu diutamakan agar dapat melambangkan Dewan ini sebagai institusi legislatif tertinggi negeri.
"Saya ingin menegaskan perkara yang berlaku ketika sesi perbahasan persidangan semalam sewajarnya tidak lagi berulang, saya memohon kerjasama pihak keselamatan untuk melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barangan dibawa masuk ke dalam Dewan Negeri termasuk beg, bungkusan dan sebagainya.
"Saya harap tak ada pula yang nak buat kambing ke, lembu ke pada hari ini," katanya ketika sesi Pengumuman Yang Dipertua Dewan Negeri ketika Persidangan Keempat Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini, hari ini lapor Sinar Harian.
Semalam, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) membuat kejutan dengan membawa seekor ayam segar ke dalam Dewan Negeri ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak.
Muhamad Arafat menjelaskan, tindakan itu dilakukan bagi menegur Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) yang merupakan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri supaya mengambil berat terhadap masalah kenaikan harga barang. - DagangNews.com