Harga akhir IPO Prolintas Infra Business Trust ditetapkan pada 95 sen seunit | DagangNews Skip to main content

Harga akhir IPO Prolintas Infra Business Trust ditetapkan pada 95 sen seunit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Prolintas Infra Business Trust telah menetapkan harga akhir bagi tawaran awam permulaan (IPO) pada 95 sen seunit, tidak berubah daripada harga awal yang ditetapkan dan memberikan penilaian sebanyak RM1.05 bilion kepada pemilik konsesi lebuh raya itu.

 

Pada harga berkenaan, IPO itu dijangka mengumpul RM445.3 juta bagi pemegang saham tunggal amanah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PLKH) daripada menjual 49% kepentingan. PLKH dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pengurusan aset kawalan kerajaan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

 

Ini berikutan penutupan tawaran runcit dan selesainya proses penaja jamin menentukan harga saham perlu dijual menerusi IPO di bawah tawaran institusi pada 12 Mac 2024, kata Prolintas Infra dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Ia ditetapkan untuk penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 Mac 2024.

 

Penjualan saham Prolintas Infra akan menjadi yang terbesar di negara ini dari segi perolehan sejak CTOS Digital Bhd mengumpul RM1.21 bilion pada Julai 2021.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Prolintas Infra Business Trust dijangka jana RM445.3 juta daripada penyenaraian IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia

 

IPO itu terdiri daripada tawaran untuk jualan sehingga 468.7 juta unit sedia ada, yang mana sehingga 422.95 juta unit diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih.

 

Turut ditawarkan sehingga 45.75 juta unit di bawah tranche runcitnya kepada orang ramai, pengarah dan individu lain yang layak.

 

Prolintas Infra telah memperoleh lapan pelabur asas termasuk Lembaga Tabung Haji, Maybank Asset Management Sdn Bhd dan Kenanga Investors Bhd untuk secara kolektif memperoleh 299.85 juta unit IPO pada 95 sen setiap satu sebagai sebahagian daripada tawaran institusi.

 

Pelabur asas biasanya bersetuju untuk membeli sebahagian besar saham IPO sebelum ia disenaraikan dan kehadiran mereka membantu dalam meningkatkan daya tarikan syarikat kepada bakal pelabur lain.

 

Amanah perniagaan terdiri daripada empat lebuh raya tol iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK). - DagangNews.com