Harga bahan ruji, barang keperluan pengguna mungkin naik disebabkan kos operasi tinggi, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Harga bahan ruji, barang keperluan pengguna mungkin naik disebabkan kos operasi tinggi, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) tidak menolak kemungkinan berlakunya kenaikan harga bahan ruji serta barang keperluan pengguna disebabkan tekanan berterusan terhadap keuntungan kesan daripada peningkatan kos pengeluaran dan operasi.

 

Katanya, pengguna juga dijangka berbelanja dengan lebih berhati-hati pada tahun ini.

 

"Pengilang makanan dan minuman seperti Nestle Malaysia Bhd telah melaksanakan kenaikan harga sekurang-kurangnya 5% ke atas produk mereka sebelum ini.

 

"Langkah itu dikaitan dengan tekanan kos berterusan daripada bahan mentah seperti koko, kopi dan gandum serta tukaran mata wang asing yang semakin lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP tetapkan 10% caruman masuk ke Akaun 3, ahli boleh keluarkan pada bila-bila masa

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun, peningkatan pendapatan boleh guna dalam kalangan pengguna mungkin berlaku berdasarkan pengumuman terkini mengenai langkah sokongan kewangan negara.

 

Katanya, pengenalan akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (boleh diakses mulai 11 Mei 2024 dan seterusnya) membolehkan 10% daripada caruman bulanan dikeluarkan pada bila-bila masa.

 

"Keadaan ini dijangka meningkatkan jumlah perbelanjaan pengguna secara beransur-ansur dan kebanyakannya tertumpu kepada barang keperluan harian dalam kategori perumahan, utiliti serta makanan dan minuman.

 

"Kami percaya bahawa impak positif yang lebih besar kepada pendapatan boleh guna akan timbul daripada cadangan kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam melebihi 13% berkuat kuasa Disember 2024," katanya.

 

Maybank IB berkata, secara keseluruhannya sektor itu akan mengalami aliran jualan yang lebih tinggi hasil daripada penambahbaikan kepada pendapatan boleh guna dalam kalangan pengguna.

 

Katanya, pilihan utama dalam sektor itu ialah  Aeon Co (M) Bhd didorong pendapatan berdaya tahan daripada perkhidmatan pengurusan hartanahnya, dengan potensi peningkatan dalam pertumbuhan jualan runcit apabila sentimen pengguna bertambah baik.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan positif terhadap sektor itu. - DagangNews.com