Harga gula tinggi diunjur beri impak negatif kepada margin untung kasar Fraser & Neave | DagangNews Skip to main content

Harga gula tinggi diunjur beri impak negatif kepada margin untung kasar Fraser & Neave

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Feb - TA Research mengunjurkan harga gula semasa yang tinggi serta ketidakstabilan harga bahan mentah utama seperti susu tepung dan minyak sawit akan memberi kesan kepada margin untung kasar Fraser & Neave Holdings Bhd.

 

Katanya, ketika ini margin untung kasar mereka sudah kembali ke paras sebelum penularan wabak COVID-19.

 

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa kumpulan itu dapat menampung impak itu dengan strategi pengurusan kosnya dan pada masa sama mengekalkan margin untung kasar sebanyak 31.5%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2023 (1QFY24) untung bersih merosot 14% tahun ke tahun kepada RM170.7 juta.

 

Sementara itu, hasil meningkat 9% tahun ke tahun kepada RM1.3 bilion daripada RM1.2 bilion, didorong oleh momentum berterusan untuk makanan dan minuman (F&B) Thailand dan F&B Malaysia, eksport yang lebih tinggi dan dibantu oleh terjemahan pertukaran asing yang menggalakkan daripada baht yang lebih kukuh.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, prestasi jualan kekal kukuh pada 2QFY24 dipacu oleh permintaan bermusim semasa tempoh Tahun Baharu Cina dan pertumbuhan berdaya tahan dalam ketibaan pelancong di Thailand.

 

Memetik Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, TA Research berkata, ketibaan pelancong antarabangsa pada 2023 mencecah 28.2 juta, menandakan jumlah pelancong asing tertinggi selepas COVID-19.

 

“Kementerian menyasarkan untuk mengaktifkan semula sektor pelancongan dengan 30-35 juta pelancong antarabangsa menjelang 2024.

 

"Kami menjangka pemulihan ini akan mengukuhkan saluran F&B Thailand," katanya.

 

Sementara itu, TA Research berkata, keuntungan operasi F&B Thailand mengalami lonjakan 85.4% dari tahun ke tahun kepada RM125.9 juta berbanding RM67.9 juta.

 

Peningkatan itu dipercayai didorongoleh kehabisan inventori komoditi dengan kos yang lebih tinggi dan peralihan dalam model perniagaan pasaran Kemboja daripada eksport kepada pembuatan dan pengedaran tempatan, yang membawa kepada penjimatan kos rantaian bekalan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM30 sesaham," katanya.- DagangNews.com