Harga internet gentian Malaysia masih mahal berbanding Thailand, Singapura | DagangNews Skip to main content

Harga internet gentian Malaysia masih mahal berbanding Thailand, Singapura

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Harga internet gentian jalur lebar di Malaysia lebih mahal berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand, menurut CGS-CIMB Research. 

 

Pada kadar pelan internet 500Mbps, Singapura dengan kepadatan penduduk lebih tinggi dan Thailand dengan persaingan syarikat telekomunikasi (telco) lebih sengit, masing-masing mencatatkan AS$0.05/Mbps dan AS$0.04/Mbps.

 

Jika dilihat, ini kira-kira AS$0.04 hingga AS$0.05 (sekitar 17 sen hingga 21 sen) lebih rendah berbanding harga internet gentian jalur lebar di Malaysia iaitu AS$0.09/Mbps.

 

“Walaupun Malaysia masih lagi mahal berbanding Singapura dan Thailand, namun kami percaya terdapat risiko lebih rendah dari segi tekanan kawal selia untuk membawa harga (internet) lebih rendah dengan signifikan di Malaysia. 

 

“Ini memandangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilihat berpuas hati dengan tahap mampu milik pelan jalur lebar gentian peringkat permulaan. (Selain itu) Mereka yang mahu menggunakan akses (internet) membangkitkan aduan yang lebih rendah mengenai masalah harga borong atau akses berbanding sebelum ini.

 

“...Dan pengguna kini mempunyai banyak pilihan penyedia perkhidmatan. Walaupun begitu, perkembangan peraturan penting yang harus diperhatikan adalah tinjauan Daftar Akses pada separuh kedua 2021 (2H21) (selepas siasatan awam), dan seterusnya, Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP), mungkin pada 1H22 untuk tempoh 2022 hingga 2024,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Di dalam nota kajian sama, CGS-CIMB turut ‘mengangkat’ DiGi.com Berhad sebagai rangkaian mudah alih yang paling mampan berbanding tiga telco lain iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM), Axiata Group Berhad dan Maxis Berhad.

 

Prestasi itu dipacu oleh penambahbaikan rangkaian yang progresif dilaksanakan oleh Digi sepanjang 2017 hingga 2020, di mana membantu pengendali mudah alih itu untuk menarik pasaran lebih luas dalam jangka masa sederhana ini, menurut CGS-CIMB.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu melihat skor rangkaian Digi dengan tiga telco lain agak terjejas oleh ketidaktentuan daripada pelan pelancaran rangkaian 5G oleh kerajaan menerusi Digital Nasional Berhad (DNB).

 

“Kami percaya Digi meletakkan sasaran misi yang paling jelas iaitu untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 50% bermula 2018 hingga 2030. 

 

“Jumlah pelepasan karbonnya pada 2020 jatuh 4.7% berbanding tahun sebelumnya selepas melonjak pada 2019, disumbangkan oleh rangkaian yang dimodenkan, inisiatif operasi berkesan dan sekatan perjalanan atau kerja mudah alih akibat COVID-19.

 

“Pelepasan karbonnya 35% lebih rendah berbanding Maxis, walaupun mempunyai saiz rangkaian yang sama. Sementara itu, TM berjaya merendahkan pelepasan karbonnya setiap tahun sejak 2017, 20% penurunan semasa 2017 hingga 2020, sejajar dengan komitmen yang dinyatakan kumpulan,” tambah CGS-CIMB lagi. - DagangNews.com