Harga jualan simen dijangka naik tahun ini | DagangNews Skip to main content

Harga jualan simen dijangka naik tahun ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - AmInvest Research menjangkakan purata harga jualan bersih simen di Semenanjung Malaysia akan meningkat kira-kira 2% kepada RM240 per tan tahun ini berbanding anggaran RM235 per tan pada 2020.

 

Firma itu percaya kenaikan itu adalah kondusif setelah melihat beberapa faktor terutamanya kemunculan peneraju harga pasaran (mengawal hampir 60% daripada kapasiti clinker) berikutan pengambilalihan Malayan Cement Bhd. oleh YTL Cement Bhd. pada 2019. 

 

Di samping itu, katanya, tekanan bekalan berkurangan selepas Malayan Cement dan CIMA masing-masing menghentikan operasi setiap satu kilang batu hangus (clinker) sekali gus mengurangkan pengeluaran kapasiti sehingga 2 juta tan setahun, bersamaan 8% kapasiti industri batu hangus dalam pasaran.  

 

"Bagimanapun, kami menjangkakan dengan kenaikan harga ini membolehkan pemain industri kembali mencatat keuntungan pada suku berikutnya.

 

"Ini kerana mereka sudah meraih pulangan modal dalam 3 suku yang lalu setelah bertahun-tahun mengalami kerugian," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 12 Mei lalu, YTL Cement, anak syarikat YTL Corp Bhd, menandatangani perjanjian untuk menjual keseluruhan operasi simen dan konkrit siap pakai di Malaysia kepada anak syarikatnya, Malayan Cement dengan harga RM5.16 bilion dalam perjanjian tunai dan saham.

 

YTL Cement memiliki 76.98% pegangan dalam Malayan Cement yang dahulunya dikenali sebagai Lafarge Malaysia Bhd.

 

Sejak pengambilalihan pada 2019, kedua-dua kumpulan telah membuat kemajuan penting dalam menyederhanakan operasi mereka dan memaksimumkan usaha di bidang logistik, pengedaran dan pemasaran.

 

Menurut AmInvest, sektor simen di Semenanjung Malaysia telah mengalami perubahan berikutan langkah penggabungan pada 2019. 

 

"Kami percaya, landskap persaingan adalah lebih rasional didorong kekangan pengeluaran disebabkan penggabungan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah bekalan yang sepatutnya meningkatkan nilai kapasiti batu hangus," katanya.

 

Bagaimanapun, menurut firma itu, apabila pandemik berakhir dan 2 sektor berkaitan penggunaan simen iaitu hartanah dan pembinaan kembali pulih, maka akan berlaku penarafan semula industri.

 

Dalam pada itu, ia juga menganggarkan penggunaan simen di Semenanjung Malaysia adalah mendatar sekitar 4.2 juta tan pada tahun ini disebabkan sekatan pergerakan mulai 1 Jun lalu sekali gus menjejaskan aktiviti pembinaan terutama membabitkan projek-projek infrastruktur.

 

"Namun, tempoh ini adalah sementara sebelum Malaysia mencapai kadar imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini dengan program vaksinasi semakin dipercepatkan," tambahnya.

 

Buat masa ini, AmInvest Research menyemak semula sektor tersebut kepada 'neutral' atau 'underweight' 
sekiranya pemulihan dalam ekonomi domestik dan global masih lagi sukar direalisasikan.

 

Firma itu memberi penilaian harga saksama bagi Malayan Cement pada RM3.34 dengan saranan 'beli'. - DagangNews.com