Harga komoditi tinggi, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan FY23 Nestle sebanyak 5% | DagangNews Skip to main content

Harga komoditi tinggi, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan FY23 Nestle sebanyak 5%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan Nestle (Malaysia) Berhad sebanyak 5% bagi FY23 berdasarkan beberapa faktor termasuk harga komoditi yang kekal tinggi.

 

Firma itu berkata, semakan semula unjuran pendapatan itu dibuat selepas mereka menurunkan unjuran andaian margin untung kasar kepada 32% daripada 34.5% dan selepas mengemas kini perbelanjaan operasi yang lebih rendah.

 

"Kami percaya bahawa perbelanjaan pengguna yang lebih lemah pada FY23 ditambah pula dengan tekanan kos dalaman kumpulan daripada harga komoditi tinggi yang berterusan.

 

"Keadaan itu boleh menyukarkan kumpulan untuk mempertahankan margin keuntungannya sambil mengekalkan pertumbuhan pendapatan positif dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM197.15 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) daripada RM205.18 juta setahun lalu.

 

Ini disebabkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi dan kadar pertukaran yang tidak menggalakkan, dengan pelbagai langkah pengurangan kos dilaksanakan untuk meminimumkan kesan kepada pengguna dan melindungi margin.

 

Bagaimanapun, hasil bagi suku tersebut meningkat 8.8% kepada RM1.84 bilion daripada RM1.69 bilion sebelumnya, dipacu oleh peningkatan jualan domestik dan eksport, yang masing-masing meningkat sebanyak 10%0 dan 4%.

 

Firma itu berkata, keputusan 1QFY23 kumpulan itu gagal mencapai unjuran yang ditetapkan berkiutan jumlah jualan dan untung kasar yang lebih lemah.

 

Katanya, dengan inflasi kos yang lebih tinggi  terhadap pendapatan boleh guna pengguna pada FY23, jualan produk kumpulan boleh terjejas manakala kos pengeluaran yang tinggi juga boleh menghalang potensi pertumbuhan pendapatan kumpulan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak RM118.80 sesaham. - DagangNews.com