NEW YORK 6 Nov. - Harga minyak jatuh di bawah AS$38 setong di sebalik lonjakan kes COVID-19 dan pilihan raya presiden AS yang masih samar.
Bagaimanapun, menurut Bloomberg, harga minyak mingguan masih bergerak naik berikutan perancangan pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) untuk menangguhkan pengurangan pengeluaran minyak.
Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh 2.8% pada Jumaat, tetapi masih meningkat sekitar 5% minggu ini.
Joe Biden dilihat berada di ambang kemenangan tetapi beliau kemungkinan terpaksa berdepan perpecahan di dalam Kongres.
Keadaan tersebut akan menyebabkan pakej perbelanjaan anti virus sukar untuk diagihkan atau menggubal dasar untuk mengelakkan AS dari penggunaan bahan api fosil.
Arab Saudi dan Rusia, negara-negara OPEC+ yang sedang melonjak, sedang menekan ahli-ahli lain supaya melanjutkan pemotongan bekalan sedia ada keapda tahun hadapan berbanding pelan ketika ini pada Januari.
Inventori AS jatuh mengejut dan turut menyokong pasaran dalam minggu ini. OPEC+ hanya akan membuat keputusan pada mesyuaratnya akhir bulan ini.
Permintaan juga semakin suram disebabkan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak. Greece menjadi negara Eropah terbaharu yang mengisytiharkan sekatan bagi mengekang penularan wabak ini.
Menurut Penganalisis Kanan di Oanda Corp., Ed Moya, pasaran ketika ini menjangkakan lebih banyak sekatan akan dilaksanakan di AS dan Eropah.
"Ini akan menjadi musim sejuk yang sukar. Jangkaan sekatan mungkin dilaksanakan AS semakin meningkat," katanya.
West Texas Intermediate bagi penghantaran Disember jatuh 2.8% kepada AS$37.71 setong di New York Mercantile Exchange mengikut waktu Singapura, 1:11 petang.
Semalam harga minyak AS ini jatuh 0.9% setelah meningkat 5.4% minggu ini.
Brent bagi penempatan Januari pula rugi 2.6% kepada AS$39.88 setong di ICE Futures Europe Exchange selepas jatuh 0.7% pada Khamis.
Niaga hadapan minyak mentah jatuh 0.9% kepada 232.2 yuan setong di Shanghai International Energy Exchange selepas meningkat 4% minggu ini. - DagangNews.com