Harga minyak sawit mentah diunjur cecah RM4,000 setiap tan kesan penyusutan pengeluaran | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur cecah RM4,000 setiap tan kesan penyusutan pengeluaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur berada antara RM3,700 hingga RM4,000 bagi setiap tan berikutan penyusutan pengeluaran di Malaysia dan Indonesia.

 

AmInvestment Bank Research berkata, pengeluaran sawit dijangka kekal perlahan sehingga berakhir musim perayaan Aidilfitri pada April ini.

 

Disebabkan peningkatan pengeluaran global kacang soya dan minyak kacang soya, firma penyelidikan itu melihat harga minyak sayuran itu kekal rendah sekali gus mengehadkan kenaikan kukuh harga MSM.

 

"Kami menjangkakan pengeluaran MSM akan kembali meningkat pada Mei ini," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, investori kacang soya Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkat sebanyak 19.3% kepada 315 juta gantang pada 2024 berbanding 264 juta gantang pada tahun lalu disebabkan penurunan eksport sebanyak 13.7%.

 

Katanya, China dipercayai akan membeli lebih banyak kacang soya daripada Brazil dan bukan AS.

 

Pengeluaran kacang soya AS dianggarkan menurun sebanyak 2.5% pada 2024 apabila kawasan tanaman mengecil kepada 33.83 juta hektar daripada 35.4 juta ekar pada tahun sebelumnya.

 

"Pengeluaran kacang soya global, bagaimanapun, diramalkan berkembang sebanyak 11.9% kepada 114.3 juta tan pada tahun ini berbanding 102.2 juta tan pada tahun lalu, disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi dari Argentina.

 

"Walaupun Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menganggarkan pengeluaran kacang soya Brazil menyusut, namun ia akan diimbangi pengeluaran kukuh di Argentina.

 

"Pengeluaran kacang soya di Argentina dijangka meningkat dua kali ganda kepada 50 juta tan pada 2024 berbanding 25 juta tan pada tahun lalu sekiranya tidak berlaku kemarau," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu. - DagangNews.com