Harga rasmi Perodua Ativa lebih rendah, bermula RM61,500 | DagangNews Skip to main content

Harga rasmi Perodua Ativa lebih rendah, bermula RM61,500

Perodua Ativa

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mac. - Model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, Perodua Ativa mula dilancarkan dengan harga rasmi antara RM61,500 hingga RM72,000 sebelum insurans di Semenanjung Malaysia.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, harga tersebut lebih rendah daripada harga tentatif RM62,500 hingga RM73,400 yang telah diumumkan sebelum ini, dan sah sehingga pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti.

 

Ativa
Ativa AV

 

"Harga Perodua Ativa yang berpatutan adalah disebabkan kadar kandungan komponen tempatan sebanyak 95%, kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua. Malah, enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia.

 

“Setakat ini, kami telah menerima kira-kira 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ianya dibuka untuk tempahan pada 19hb Februari lalu. Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan mereka.

 

"Penghantaran akan bermula 4hb Mac, dan kami mensasarkan untuk menghantar sebanyak 3,000 unit sebulan secara purata," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

.

 

Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin menerusi premiere digital yang bermula pada pukul 8 malam tadi.

 

Model berkenaan adalah hasil kerjasama pintar pertama antara Perodua dan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu.

 

Tambah beliau, pengenalan Perodua Ativa amat penting kerana ia membawa kerjasama antara Perodua dan Daihatsu ke tahap baharu, membolehkan Perodua dan para pembekalnya berkongsi komponen dan proses untuk memaksimumkan kecekapan kos.

 

"Semua ini dilakukan tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri-ciri dan citarasa Malaysia yang unik.

 

“Penglibatan kami dalam pembangunan Ativa bermula dari papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera kami bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018.

 

“Kerjasama erat ini membolehkan kami melibatkan ekosistem automotif Malaysia di dalam pembangunan model ini, dan para pembekal kami berjaya mengatasi cabaran dan mampu mengurangkan kos mereka,” ujar beliau lagi.

 

Ativa berasal daripada Bahasa Portugis yang bermaksud ‘aktif’ dan diyakini sesuai dengan gaya hidup aktif di bandar.

 

Ativa AV
Ativa AV

 

Ativa merupakan kenderaan cas turbo pertama Perodua, model pertama Perodua yang menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) dan model pertama Perodua yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard tersebut.

 

Semua teknologi itu menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 km/l, menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima Perodua.

 

“Kami menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara untuk melihat, merasai dan memandu uji Perodua Ativa sebelum pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30hb Jun nanti,” katanya. - DagangNews.com