Harga saham Pappajack melonjak 30% pada hari pertama dagangan | DagangNews Skip to main content

Harga saham Pappajack melonjak 30% pada hari pertama dagangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - Pappajack Berhad yang terlibat dengan perkhidmatan pajak gadai berlesen membuat penampilan pertama di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada harga RM0.39 sesaham iaitu 30% lebih tinggi berbanding tawaran awam permulaannya (IPO) iaitu RM0.30.

 

Kumpulan itu memperuntukkan saham IPO untuk orang awam sebanyak 33.40 juta saham baharu tetapi ia terlebih langgan sebanyak 21.73 kali.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Boon Hua berkata, pihaknya berbesar hati apabila menjadi kumpulan pajak gadai pertama tersenarai di Bursa Malaysia terutama selepas bekerja keras sejak mula ditubuhkan pada 2014.

 

Beliau berkata, hasil kerja keras selama ini, mereka berjaya mengendalikan lebih 25 cawangan pajak gadai di seluruh negara.

 

"Hari ini perkhidmatan pajak gadai dikelaskan sebagai institusi bukan bank yang melengkapi keperluan ekosistem kewangan dengan menyediakan pinjaman mikro jangka pendek kepada pelanggan yang tidak mempunyai akses kepada institusi kewangan konvensional.

 

"Pajak gadai memainkan peranan penting dengan memberikan dana kepada mereka yang memerlukan sokongan sementara dengan kadar yang cepat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berhasrat mengumpul dana sebanyak RM50.1 juta daripada penerbitan IPO itu dengan RM27.08 juta digunakan untuk pernigaan 20 cawangan sedia ada manakala RM19.22 juta akan digunakan untuk membuka cawangan baharu dan baki RM3.8 juta digunakan untuk perbelanjaan lain.

 

Rancangan pengembangan perniagaan Papajack termasuk pembukaan lima cawangan baharu di Pulau Pinang dan Selangor.

 

Boon Hua berkata, bagi perancangan jangka panjang, kumpulan itu berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan dan mengambil alih perniagaan pajak gadai pihak ketiga di Semenanjung Malaysia bagi meluaskan pegangan pasaran mereka.

 

"Kami yakin, penyenaraian ini akan mengkuhkan jenama dan profil kumpulan kami sebagai pemain utama di dalam industri ini," katanya. - DagangNews.com