Harga saham Supermax menjunam 73.3% sejak setahun lalu - HLIB | DagangNews Skip to main content

Harga saham Supermax menjunam 73.3% sejak setahun lalu - HLIB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Harga saham Supermax Corporation Berhad telah menjunam sehingga 73.3% daripada paras tertinggi, RM11.60 sejak setahun atau 52 minggu lalu sehingga mencecah kadar terendah pada RM3.04, sebelum ditutup pada RM3.09 setakat 9 Ogos lalu. 

 

Ini terutamanya disebabkan oleh peralihan ketara minat pelabur daripada saham yang menerima keuntungan akibat pandemik COVID-19 kepada saham-saham yang dijangka pulih pasca pandemik selain kejatuhan dalam purata harga jualan (ASP) sarung tangan. 

 

Menurut penganalisis di Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB), Ng Jun Sheng, saham Supermax kini didagangkan pada nisbah harga kepada perolehan (P/E) 4.2 kali, di mana 6% dan 73% lebih rendah, masing-masing daripada pesaingnya, 4.47 kali dan purata 10 tahun pada 16 kali.

 

Bagaimanapun, sahamnya yang kini dijual dengan berlebihan berpotensi meningkat semula ekoran kes COVID-19 di seluruh dunia kian melonjak.

 

“...Ditambah dengan lonjakan semula kes COVID-19 global bakal meningkatkan permintaan produk mereka, setelah mengambil kira ancaman jangkitan yang menular dengan cepat daripada varian Delta. 

 

“Dalam pada itu, dengan dapatan bahawa COVID-19 (seperti selsema bermusim) kini lebih aktif semasa musim salji, kami berpendapat bahawa terlalu awal untuk menolak kemungkinan kes COVID-19 bakal meningkat semula di pasaran-pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) yang mula melonggarkan peraturan ‘lockdown’, di mana tidak dinafikan meningkatkan permintaan sarung tangan pakai buang, sekali gus mengurangkan impak kejatuhan ASP,” jelas Jun Sheng dalam satu nota kajian.

 

Secara teknikal, saham Supermax terlebih dijual, sekali gus membentuk harga asas menghampiri RM3.

 

Sebarang kelemahan daripada harga semasa menuju ke arah paras sokongan utama iaitu antara RM2.94 hingga RM3 bakal mendatangkan peluang baik untuk ia meningkat semula (accumulate).

 

Supermax menjadi salah satu pengeluar sarung tangan getah utama di Malaysia dan kumpulan mempunyai 12 kilang pembuatan untuk pelbagai jenis sarung tangan lateks dan getah asli. 

 

Kesemua pengeluaran sarung getahnya dieksport ke lebih 165 buah negara di seluruh dunia seperti AS, EU, negara-negara Timur Tengah, Asia dan Pasifik Selatan. 

 

Setakat ini, kapasiti sarung tangan kumpulan berjumlah 26.15 bilion unit setiap tahun. - DagangNews.com