Hartalega mungkin naikkan purata harga jualan sarung tangan - CSG CIMB | DagangNews Skip to main content

Hartalega mungkin naikkan purata harga jualan sarung tangan - CSG CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Salah satu syarikat pengeluar sarung tangan utama di Malaysia, Hartalega Holdings Berhad mungkin mengambil langkah untuk meningkatkan purata harga jualan (ASP) produk itu selepas bulan Mac ini. 

 

Ramalan itu dibuat CGS-CIMB Research selepas mengambil kira pandangan Hartelaga yang melihat ASP produknya masih ketinggalan sekitar 10% hingga 15% diskaun daripada ASP semasa dalam sektor sarung tangan. 

 

“Oleh itu, kami percaya Hartalega mungkin meningkatkan ASP selepas suku keempat tahun kewangan 2021 (4Q21), walaupun dengan kuantum yang lebih kecil. 

 

“Lihat pada ramalan FY22 hingga FY23 semasa kami yang menjangkakan ASP akan mula jatuh sebanyak 2% hingga 4% dalam perbandingan bulan ke bulan bermula 1Q22 pada masa akan datang,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.

 

Memandangkan permintaan sarung tangan di peringkat global mengukuh, Hartalega menjangkakan ASP kumpulan syarikat itu akan terus meningkat sebanyak 40% hingga 50% pada 4Q21 berakhir Mac ini. 

 

Menurut CGS-CIMB, Hartalega terus menegaskan bahawa kumpulan syarikat itu tidak melihat kekurangan sarung tangan di peringkat global dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

 

Hartalega menganggarkan ketika ini, terdapat kekurangan sarung tangan sehingga 120 bilion setiap tahun, dan dijangka berterusan sekurang-kurangnya selama dua tahun lagi, jelas CGS-CIMB. 

 

Sebaliknya, pelanggan sedia ada dan baharu masih meminta lebih banyak peruntukan kapasiti walaupun ASP kian meningkat, ujar CGS-CIMB. 

 

Dari segi perancangan pengembangan perniagaan pesaingnya, CGS-CIMB berkata, Hartalega tidak terlalu menghiraukan situasi berkenaan terutama syarikat yang baru memasuki sektor itu. 

 

“Kumpulan syarikat itu melihat bahawa pengeluar sarung tangan baharu akan berdepan pelbagai kesulitan dan penangguhan untuk memulakan kapasiti baharu mereka. 

 

“Cabaran ini termasuk skala ekonomi yang lebih rendah kerana kenaikan kos (kos bahan mentah yang lebih tinggi, kos berkaitan dengan tadbir urus persekitaran, sosial dan korporat), mempunyai tenaga kerja yang mencukupi (dengan larangan pengambilan pekerja asing yang berterusan), kos yang lebih tinggi untuk mematuhi Akta 446, dan kelewatan pembinaan kerana penularan COVID-19 yang berterusan,” tambah CGS-CIMB. 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Hartalega dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM21.80.

 

Setakat 10.56 pagi, nilai saham Hartalega susut RM0.16 kepada RM12.28. - DagangNews.com