Hasil 1QFY24 Kerjaya Prospek meningkat 13.4% kepada RM337.1 juta dipacu segmen pembinaan | DagangNews Skip to main content

Hasil 1QFY24 Kerjaya Prospek meningkat 13.4% kepada RM337.1 juta dipacu segmen pembinaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Hasil Kerjaya Prospek Group Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) meningkat 13.4% kepada RM337.1 juta berbanding RM297.2 juta didorong peningkatan pendapatan dalam segmen pembinaan.

 

Pertumbuhan itu juga dibantu oleh pendapatan positif sebanyak RM7.4 juta dalam segmen hartanah yang ebahagian besarnya daripada penjualan The Vue @ Monterez.

 

Untung bersih kumpulan bagi suku tersebut juga meningkat 14.1% kepada RM33.6 juta berbandung RM29.4 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tee Eng Tiong berkata, keududukan kewangan kumpulan itu bertambah baik dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM213.5 juta pada 31 Mac 2024 berbanding tunai bersih RM167.2 juta tiga bula sebelumnya.

 

“Keputusan suku pertama kami adalah dalam jangkaan kerana momentum pertumbuhan pendapatan yang kukuh dari tahun lepas melonjak ke suku pertama apabila kami memasuki tahun kewangan baharu.

 

"Segmen pembinaan terus menjadi penyumbang pendapatan utama kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan pelbagai faktor berkaitan sebagai usaha mencari strategi terbaik untuk mengekalkan keuntungan kumpulan.

 

"Kami telah memperoleh RM979 juta dalam kemenangan projek setakat ini, bersamaan dengan 65.3% daripada RM1.5 bilion sasaran kemenangan kontrak untuk tahun ini.

 

"Ini diterjemahkan kepada buku pesanan tertunggak yang kukuh berjumlah kira-kira RM4.5 bilion, yang akan memberikan kami keterlihatan kewangan dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya memperoleh kontrak RM567.7 juta daripada Tanjung Pinang Development Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Berhad pada 27 Mei 2024.

 

Anugerah itu adalah berhubung kerja-kerja penambakan dan pengorekan untuk pembangunan Seri Tanjung Pinang (Fasa 2B dan 2C) di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 2.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berjumlah RM31.5 juta, yang akan dibayar pada 5 Julai 2024. - DagangNews.com