Hasil perkhidmatan CelcomDigi bagi suku pertama 2024 susut 2.4% kesan penurunan dalam semua segmen - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Hasil perkhidmatan CelcomDigi bagi suku pertama 2024 susut 2.4% kesan penurunan dalam semua segmen - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Hasil perkhidmatan CelcomDigi Bhd bagi suku pertama 2024 susut 2.4% dari suku tahun ke suku tahun disebabkan berlaku penurunan berturutan dalam semua segmen perniagaan.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, segmen prabayar menyaksikan purata pelanggan yang lebih rendah dengan purata setiap pengguna (ARPU) yang stabil, manakala pasca bayar menyaksikan purata pelanggan yang lebih tinggi diimbangi oleh ARPU yang lebih rendah.

 

Katanya, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan itu pada suku pertama 2024 adalah 1.0 ppt lebih tinggi dari suku tahun ke suku tahun.

 

"Penurunan untung bersih berturut-turut adalah disebabkan gabungan hasil lebih rendah, normalisasi susut nilai dan pelunasan (D&A) dan elaun kerugian kredit tetapi sebahagiannya diimbangi cukai yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih suku pertama 2024 kumpulan itu sebanyak RM376 juta masing-masing mewakili 24% dan 18% daripada ramalan tahun penuh serta konsensus.

 

Keputusan itu adalah selaras dengan jangkaan Maybank IB tetapi mungkin di bawah konsensus. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan akan memberi fokus kepada pengekalan pangkalan pelanggan bagi segmen mudah alih.

 

Katanya, pengurusan menyasarkan pertumbuhan satu digit bagi hasil didorong dan pada masa sama memberi panduan EBIT yang stabil.

 

"Pengurusan terus menyasarkan penyampaian sinergi penggabungan bernilai RM8 bilion dari segi nilai kini bersih (NPV)  menjelang 2027," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM4.50 sesaham. - DagangNews.com