Hasil Steel Hawk meningkat kepada RM39.03 juta pada 1HFY24 dipacu peningkatan tempahan kerja | DagangNews Skip to main content

Hasil Steel Hawk meningkat kepada RM39.03 juta pada 1HFY24 dipacu peningkatan tempahan kerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Hasil Steel Hawk Bhd bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) meningkat kepada RM39.03 juta berbanding RM32.18 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong peningkatan tempahan kerja dalam semua segmen perniagaan.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan itu termasuk pesanan kerja baharu daripada Petronas Carigali bagi penggantian dan penyelenggaraan pintu kebakaran termodular bagi bangunan luar pesisir dan pemeriksaan saluran paip untuk tong perangkap tolok pemeriksaan.

 

Selain itu, ia juga melibatkan penyediaan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk 25 suntikan kimia skid bagi semua platform Dulang.

 

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Steel Hawk, Datuk Sharman K. Michael berkata, kumpulan itu mencatatkan untung bersih larasan sebanyak RM7.41 juta pada 1HFY24, tidak termasuk pemindahan perbelanjaan penyenaraian, telah melepasi keuntungan bersih setahun penuh sebanyak RM7.22 juta yang dicatatkan pada FY23.

 

"Prospek positif kami untuk baki tahun kewangan meletakkan kumpulan dalam kedudukan baik bagi pemindahan penyenaraian yang akan datang ke Pasaran ACE Bursa Securities.

 

steel hawk
Datuk Sharman K. Michael

 

“Dengan hasil yang akan diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO), kumpulan ini akan mempunyai kekuatan kewangan bagi melaksanakan projek yang lebih besar dan mengambil bahagian dalam lebih banyak tender. 

 

"Kami akan meningkatkan keupayaan serta daya saing selain mengembangkan bahagian pasaran dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas tempatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu melaporkan hasil 2QFY24 sebanyak RM19.29 juta, yang mewakili peningkatan sebanyak 3% berbanding RM18.73 juta yang dicapai pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Pada 2QFY24, syarikat itu mencatatkan untung bersih RM3 juta, turun daripada RM3.11 juta pada 2QFY23,

 

Steel Hawk dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada Khamis, 5 September 2024.

 

Selepas pemindahan penyenaraian, Steel Hawk akan mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM73.5 juta berdasarkan harga terbitan 15 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 490 juta saham.- DagangNews.com