Hasil tuaian buah tandan segar Kim Loong diunjur berkembang 4% pada FY25, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Hasil tuaian buah tandan segar Kim Loong diunjur berkembang 4% pada FY25, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - AmInvestment Bank Research mengunjurkan hasil tuaian buah tandan segar (BTS) berkembang pada kadar lebih kecil iaitu 4% pada FY25 berbanding 15% pada FY24.

 

Katanya, unjuran itu adalah berdasarkan purata hasil sebanyak 22 tan bagi setiap hektar berbanding 21.8 tan bagi setiap hektar pada FY24 (FY23: 20.8 tan/ hektar).

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan hasil tuaian BTS sebanyak 15% pada FY24 dijangka kekal stabil walaupun hujan lebat di Sabah dan Johor pada Disember 2023 dan Januari 2024. BTS kumpulan itu meningkat sebanyak 16% dari tahun ke tahun bagi tempoh 11MFY24.

 

"Kos pengeluaran keseluruhan kumpulan itu dijangka menyusut kepada RM1,900/tan pada FY25 berbanding RM2,400/tan pada FY24 disebabkan penurunan kos baja.

 

"Menurut Bloomberg, harga purata harga baja Amerika Syarikat (AS) turun sebanyak 41.5% kepada AS$424/tan pada 2023 daripada AS$726/tan pada 2022. Kim Loong membeli bajanya setiap enam bulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras kumpulan itu bagi 3QFY24 meningkat sebanyak 31.5% dari tahun ke tahun kepada RM47.2 juta disokong pertambahan hasil sebanyak 11.5%.

 

Secara kumulatif, pendapatan teras 9MFY24 Kim Loong susut sebanyak 2.2% kepada RM75.2 juta selaras dengan penyusutan hasil sebanyak 21.4%.

 

Walaupun pertumbuhan pengeluaran BTS lebih tinggi sebanyak 19.5% tetapi keuntungan operasi bagi 9MFY24 merosot 20.5% kepada RM92.4 juta.

 

AmInvestment berkata, loji biogas Telupid 1.5MW kumpulan itu dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

 

Katanya, selepas pentauliahan, Kim Loong akan menikmati hasil sebanyak RM15 juta setahun daripada tiga loji biogasnya.

 

"Penjualan elektrik daripada loji biogas dianggarkan menyumbang antara 5% hingga 6% daripada keuntungan bersih tahunan kumpulan. 

 

"Loji biogas di Kota Tinggi, Keningau dan Telupid menguasai kapasiti eksport sebanyak 5.3MW secara keseluruhan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.90 sesaham.- DagangNews.com