KUALA LUMPUR 30 Mac - TA Research menjangkakan hasil tuaian buah tandan segar (BTS) Kim Loong Resources Berhad pada FY24 meningkat sebanyak 15% dengan lebih banyak kawasan tanaman menjadi lebih matang.
Pada masa sama, firma itu berkata, lebih banyak kawasan yang ditanam semula semakin matang dan profil umur yang lebih baik bagi kawasan produktif sawit muda.
Firma itu berkata, bagi operasi pengilangan minyak sawit, jumlah kuantiti pemprosesan dijangka mengekalkan sekurang-kurangnya 1.5 juta tan BTS.
"Menurut pengurusan, pergerakan harga minyaks awit mentah (MSM) adalah sukar untuk diramalkan.
"Bagaimanapun, pihak pengurusan menjangkakan purata harga MSM bagi FY24 boleh melebihi RM4,000 bagi setiap tan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, hasil Kim Loong meningkat 12% kepada RM1.91 bilion disumbang oleh harga jualan purata yang lebih tinggi bagi BTS sebanyak 10% dan MSM sebanyak 9%.
Pengeluaran FFB dan MSM bagi tahun itu masing-masing lebih tinggi sebanyak 8% dan 6% berbanding tahun sebelumnya.
BACA JUGA: Kim Loong rekod keuntungan bersih RM162.56 juta bagi tahun kewangan 2023
Firma itu berkata, keputusan lebih baik itu didorong sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada operasi pengilangan minyak sawit, yang membantu mengimbangi sumbangan yang lebih lemah daripada segmen perladangan.
Katanya, secara kumulatif, keuntungan bersih teras FY23 meningkat sebanyak 21.5% kepada RM162.4juta berikutan peningkatan 12.1% dalam hasil.
Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.75 sesaham. - DagangNews.com