HB Global ambil alih KK Fresh Frozen dengan harga RM30 juta melalui terbitan saham baharu | DagangNews Skip to main content

HB Global ambil alih KK Fresh Frozen dengan harga RM30 juta melalui terbitan saham baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - HB Global Ltd mengambil alih firma ternakan ayam tempatan, KK Fresh Frozen Sdn Bhd, dengan harga RM30 juta melalui terbitan saham baharu.

 

Syarikat itu terlibat secara asasnya dalam perdagangan daging sejuk beku dan produk ayam seperti bahagian ayam mentah, daging lembu dan kambing melalui model pengedaran perniagaan ke perniagaan.

 

Menerusi perjanjian itu, HB Global akan menerbitkan 200 juta saham HB Global pada harga terbitan 15 sen setiap satu kepada pengarah urusan KK Fresh, Tan Hwa Sing, yang akan menjadikannya sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat itu dengan kepentingan ekuiti 20.5%, berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 977.71 juta saham.

 

HB Global dan Hwa Sing menandatangani perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) untuk melaksanakan pengambilalihan itu, semalam.

 

Menurut SSA, Hwa Sing memberikan jaminan bahawa KK Fresh akan mencapai keuntungan minimum bersih sebanyak RM3 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (tempoh jaminan keuntungan pertama) dan RM3.5 juta untuk pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (tempoh jaminan keuntungan kedua).

 

“Walaupun HB Global dan anak-anak syarikatnya akan meneruskan perniagaan sedia ada dalam pemprosesan, pembungkusan dan pengeluaran makanan dan sayur-sayuran sejuk beku yang sedia dihidangkan.

 

"Cadangan pemerolehan itu mewakili langkah strategik kumpulan kerana kumpulan itu akan dapat memanfaatkan perniagaan KK Fresh bagi meningkatkan rangkaian produk kumpulan itu,” kata HB Global dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Katanya, cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan yang diperbesarkan itu menyediakan rangkaian produk yang lebih luas kepada pelanggannya, sekali gus meningkatkan keuntungannya.

 

Cadangan pengambilalihan itu, yang memerlukan kelulusan daripada Bursa Securities dan pemegang saham HB Global, dijangka selesai pada separuh kedua 2023.

 

M&A Securities telah dilantik sebagai penasihat utama bagi cadangan pengambilalihan itu. - DagangNews.com